Apa yang anda lakukan jika hak anda dicabuli?! Suarakan kritikal agar diberi perhatian oleh pihak berkaitan.
Wednesday, February 29, 2012
Bangkai Ayam Di Depan Pintu Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh
SEBERANG JAYA – Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga pejabat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh di Jalan Tenggiri, semalam, dikejutkan dengan penemuan bangkai ayam.
Kejadian disedari petugas pusat khidmat, Fathilullail Jaafar Sidek ketika dia hendak memulakan tugas hariannya di sana, kira-kira jam 10 pagi.
“Bangkai ayam itu digantung sedikit ke dalam, menyebabkan saya tidak perasan akannya ketika mula-mula tiba di hadapan pusat khidmat.
“Saya kemudiannya meletak motosikal dalam kawasan premis dan ketika menoleh ke belakang itulah baru perasan akan bangkai ayam digantung dengan kesan darah masih kelihatan, selain kaki kanannya dipotong,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di sini, semalam.
Fathilullail berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 pagi hingga 10 pagi berikutan tiada apa-apa yang mencurigakan ketika dia meninggalkan premis berkenaan pada jam 3 pagi.
Dia yang terkejut kemudiannya bertindak menghubungi Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Md Ghazali dan rakan-rakan seperjuangan yang lain berhubung kejadian ini.
Sementara itu, Amir yang turut hadir pada sidang media berkenaan memberitahu, dia menerima sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kejadian pada jam 10.40 pagi.
Dia yang ketika itu sedang menghadiri mesyuarat penuh di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), dekat Bandar Perda bagaimanapun bergegas ke pusat khidmat sejurus kemudian dan menyifatkan kejadian sebagai satu lagi provokasi politik pihak tertentu untuk
mengganggu program yang dianjurkan Pakatan Rakyat (PR), terutamanya AMK di peringkat negeri dan parlimen.
“Kita percaya perbuatan ini dilakukan bertujuan untuk melemahkan semangat AMK, terutama menjelang program Debat Perdana Mansuhkan Tol anjuran Pemuda PR,” katanya.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), 3.30 petang bagi membolehkan siasatan dilakukan.
- SITI AZILA ALIAS
Rujukan Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bangkai-ayam-depan-pintu-1.28411
Labels:
Anwar Ibrahim,
DSAI,
keselamatan,
polis,
Zalim
Subscribe to:
Posts (Atom)