Showing posts with label pilihan raya. Show all posts
Showing posts with label pilihan raya. Show all posts

Saturday, March 8, 2008

Selamat Mengundi !!!

Hari ini adalah 3 Mac 2008 detik bagi warga Malaysia keluar mengundi untuk memilih pemimpin dan juga hala tuju masa hadapan rakyat Malaysia. Oleh itu pilihlah dengan bijak, dengan keadaan semasa ini maka pilihan anda akan mengubah nasib kita dan juga anak cucu kita kelak.

Apabila hari ini akan berlaku perubahan, nescaya ianya akan dikenang anak cucu kita sebagai satu wadah perjuangan dalam menuntut keadilan dan kebenaran.

Selamat Mengundi.

Monday, March 3, 2008

Siapa yg Mahu Jual Negara ataupun Agen Luar?

Skandal kewangan terbesar di era Abdullah Ahmad Badawi

Apakah pinjaman ini akan menjadi satu lagi skandal kewangan terbesar di era Abdullah setanding denagn skandal MBF-Bank Bumiputra Malaysia Berhad dan skandal perjudian mata wang Bank Negara di era Mahathir menjadi perdana menteri dahulu, yang mana Malaysia mengalami kerugian berbillion ringgit. Mudah-mudahan ini tidak terjadi.

Persoalan telah ditimbulkan berhubung laporan bahawa kerajaan sedang berusaha mendapatkan pinjaman berjumlah AS$50 bilion (RM175 bilion), sebahagian besarnya dari bank luar negara, melalui dua buah syarikat swasta, untuk membantu membiayai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Kedua-duanya adalah sebuah syarikat tempatan – Asasatu Technology Sdn Bhd – yang menanggung hutang yang besar dan dalam proses dibubarkan dan sebuah syarikat Australia, Project Equity Services Group (PESG).

Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjawab benarkah dan mengapa kerajaan menggunakan cara yang luar biasa untuk mendapatkan US$50 bilion (RM175 bilion) bagi membiayai projek-projek infrastruktur dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Amalan luar biasa itu kali pertama dibongkarkan oleh Editor Malaysia Today (MT), Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya, How Malaysia is borrowing US$50 billion without borrowing.

Menurut Raja Petra, untuk mendapatkan pinjaman US$50 bilion itu, kerajaan menggunakan syarikat sendirian berhad, Asasatu Technology Sdn Bhd (Asasatu) yang menanggung hutang yang besar dan dalam proses dibubarkan serta sebuah syarikat berpengkalan di Sydney, Project Equity Services Group (PESG).

Syarikat ketiga yang terbabit dalam urusniaga luar biasa itu ialah sebuah syarikat Australia berpejabat di Sydney, Union Financial Services Corporation (UFSC). UFSC hanya menggunakan peti surat sebagai alamatnya.

Dalam tulisannya itu, Raja Petra menyiarkan beberapa dokumen berkaitan proses pinjaman luar biasa itu.

Perdana Menteri tiada halangan
Dokumen-dokumen tersebut termasuk surat yang dikatakan dihantar oleh pembantu Menteri Kewangan, Reezal Merican Naina Merican – yang menurutnya atas arahan Perdana Menteri – kepada Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Gani, bertarikah 15 Jun 2006.

Antara lain, Reezal berkata, Pengarah Urusan Asasatu, Zubir Ahmad telah memenui Perdana Menteri dua minggu sebelumnya.

Katanya, Perdana Menteri “difahamkan bahawa syarikat ini sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat pengurus dana (dinyatakan sebagai UFSC) dengan cadangan membawa masuk dana asing ke negara ini”.

“Pada dasarnya, Perdana Menteri tiada halangan agar cadangan tersebut dipertimbangkan,” tambahnya.

Mengapa syarikat sedang dibubar dipilih?

Ketika mempersoalkan urusniaga luar biasa tersebut dalam kenyataan yang disiarkan dalam blognya, Lim menuntut Perdana Menteri menjawab tiga persoalan mengenai perkara itu.

Pertama, benarkah dan mengapa kerajaan menggunakan cara yang luar biasa untuk mendapatkan pembiayaan US$50 bilion bagi projek-projek pembangunan infrastruktur RMK-9 dari 25 bank utama dunia dan bank utama dalam negara melalui syarikat-syarikat swasta yang mencurigakan?

Kedua, benarkah dan mengapa Asasatu, yang statusnya di dalam rekod terakhir Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) "sedang dibubarkan," dipilih sebagai pihak yang menguruskan US$50 bilion untuk kerajaan Malaysia?

Ketiga, benarkah dan mengapa rakan dan agen Asasatu untuk menguruskan pembiayaan US$50 bilion untuk projek RMK-9 kerajaan itu ialah PESG yang berpengkalan di Sydney?

"Carian Internet menimbulkan banyak persoalan tentang PESG, adakah ia syarikat hadapan kepada Roland Bleyer yang juga presiden UFSC yang terus dihantui oleh sejarah dakwaan penipuan oleh mangsa-mangsanya di seluruh dunia," kata Pengerusi DAP itu.

Perdana Menteri jangan dakwa tidak tahu

Lim mengingatkan Perdana Menteri supaya jangan menutup mata dan mendakwa tidak tahu menahu mengenai maklumat dalam internet itu.

“Jika Abdullah benar-benar tidak tahu mengenainya, saya sedia mengemukakannya kepadanya semua maklumat yang relevan,” katanya.

Dalam pembongkarannya, Raja Petra menyifatkan urusniaga itu jelas menunjukkan kerajaan Malaysia mahu meminjam wang dalam jumlah yang besar dari luar negara tetapi tidak mahu dilihat melakukannya.

“Kerajaan Malaysia tidak meminjam secara rasmi wang itu dan sebaliknya, peminjam itu ialah syarikat kecil sendirian berhad bernama Asasatu Technology Sdn Bhd. Ini akan membuat kerajaan Malaysia ‘bersih’ daripada sebarang pinjaman asing,” katanya.

Ketika Perdana Menteri mengumumkan RMK-9 membabitkan RM200 bilion, kata editor MT itu, kerajaan kelihatan tidak mempunyai wang untuk membiayai projek lima tahun itu.

Bagaimanapun, katanya, kerana tidak mahu Malaysia dilihat meminjam dengan faedah dalam dolar Amerika dan tertakluk kepada turun naik nilai matawang untuk membiayai rancangan pembangunannya, sebuah syarikat kecil sendirian berhad telah digunakan sebagai syarikat hadapan untuk berurusan dengan sebuah syarikat Australia yang sebenarnya disokong oleh Singapura.

Yang menariknya dalam keseluruhan urusan itu, mengikut catatan Pendaftar Syarikat, Asasatu Technology Sdn Bhd adalah sebuah syarikat berpangkalan di Permatang Pauh di Pulau Pinang, yang dalam proses menggulung tikar. Betul benar, syarikat yang sedang membuat urusan meminjam USD50 bilion untuk kerajaan Malaysia adalah sebuah syarikat yang sedang mahu tutup. Alangkah hebatnya kisah itu. Bagaimana mungkin syarikat yang mahu gulung tikar digunakan sebagai alat untuk kerajaan Malaysia merundingkan satu perkara yang sungguh penting seperti mendapatkan dana untuk membiayai RMK9?

Kali terakhir Asasatu Sdn Bhd menyerahkan lapurannya ialah pada 31 Disember 2000. Sejak itu tidak ada lagi lapuran akan yang diserahkan. Pada 2000 aset tetap syarikat dikatakan berjumlah RM524,248.00 dengan aset semasa bernilai RM1,976,421.00. Akan tetapi tanggungan semasa syarikat ialah RM1,071.641.00 dan tanggungan jangka panjang sebanyak RM321,756.00. Keuntungan tahun itu ialah RM39,512.00 dengan keuntungn terkumpul sebanyak RM125,272.00. Ini bukannya satu syarikat yang harus digunakan oleh Malaysia untuk mendapatkan USD50 bilion bagi tujuan mendapatkan dana bagi pojek sepenting RMK9.

Kita tidak tahu apakah angka kewangan yang terkini tetapi oleh kerana syarikat sedang bersiap mahu gulung tikar, kita boleh mengagak sudah tentu sejak 2001 syarikat ini tidak boleh kemana-mana. Ir. Hj Zubir Hj Ahmad yang disebut dalam surat bertarikh 15 Jun, ialah seorang pengarah syarikat dan memiliki 1,990,000 saham sedangkan Rosni binti Rahmat, seorang pengarah yang lagi satu memiliki 20,000 saham.

Yang menjadi lebih menarik ialah nama agen yang akan mengatur pinjaman kewangan dan disebut dalam surat itu sebagai Union Financial Services Corporation di Sydney, Australia . Alamat syarikat ialah PO Box A2286. Jadi tidaklah mudah mengesahkan apakah syarikat ini satu syarikat peti pos sahaja ataupun satu syarikat pengurusan dana yang berlesen. Mengambil kira bahawa kita bercakap mengenai keperluan biaya projek Malaysia untuk lima tahun sehingga 2010, tentulah seram kita dibuatnya. Ini bererti pinjaman bernilai USD$50 billion yang diperlukan oleh Malaysia sedang diuruskan oleh sebuah syarikat yang dikenali melalui petipos dan sebuah syarikat sendirian berhad di Malaysia yang sedang bersiap mahu gulung tikar.




Fakta Pinjaman:

Jumlah Pinjaman:
USD 50,000,000,000

Tujuan:
Pelaburan
dalam Pelbagai Projek Infrastruktur

Jangkamasa:
10 Tahun (Masuk RMK11 baru habis bayar)

Faedah:
2.88% - 3.5%

Transaction Undertake:
B&G Credit International (S'pore) Pte Ltd.

Pemberi Pinjaman:
Gabungan 25 Bank Singapore

Syarikat perunding dana untuk RMK9 Malaysia
ASASATU TECHNOLOGY SDN BHD

Pengurus Dana
UNION FINANCIAL SERVICES CORPORATION (Project Equity Services Group)

Kedua-dua merupakan syarikat yang sudah dalam proses gulung tikar dan 'deregistered' dapat nyawa RMK9

Wednesday, February 27, 2008

Bodoh Lagi Membodohkan?

Kadang-kadang bila membaca akhbar harian kita terasa diperbodohkan terutama bila tiba musim pilihanraya. Terlalu banyak cakap-cakap yang boleh diklasifikasikan sebagai bodoh mahupun bangang. Kalau yang bercakap itu budak-budak sekolah rendah, mungkin kita semua boleh abaikan tetapi kalau yang bercakap itu Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop maka tersirna kebodohan beliau.

Nor Mohamed Yakcop memberi amaran, cadangan DAP supaya setiap keluarga bergaji kurang RM6,000 sebulan diberikan bonus RM6,000 setahun, boleh mengakibatkan rakyat yang berpendapatan rendah menderita. Katanya, cadangan manifesto DAP itu jika diteruskan boleh menyebabkan inflasi yang tidak menentu serta kadar pengangguran yang teruk berbanding tahap inflasi 3.3 peratus sekarang. Menurutnya, golongan yang teruk menerima kesan negatif nanti ialah petani, peladang, pekerja industri dan pihak yang terlibat dalam sektor pengangkutan termasuk pemandu lori.

Kita semua tahu bahawa jika Kerajaan Malaysia memperuntukkan sebahagian nilai bantuan kewangan tahunan (boleh diklasifikasikan sebagai bonus awam) kepada rakyat yang berpendapatan rendah, maka secara otomatisnya ianya akan membentuk satu kecairan dalam pasaran terutamanya terhadap ekonomi setempat.

Dengan adanya “bonus awam tahunan” ini maka bolehlah sesebuah keluarga yang berpendapatan rendah menggunakannya untuk keperluan tahunan mereka termasuklah makan-minum, pakaian, persekolahan, kesihatan dan sebagainya. Ini secara lansung akan mengakibatkan rancaknya urusniaga setempat seperti kedai runcit, pasar basah dan kering ataupun pasaraya kecil.

Ianya sama sekali tidak akan menyebabkan inflasi kepada ekonomi Malaysia akan tetapi ianya akan merancakkan lagi ekonomi Malaysia. Oleh yang demikian cadangan DAP tersebut memang ada rasionalnya.

Persoalannya sekarang ini, adakah Nor Mohamed Yakcop pernah belajar ekonomi ataupun tidak? Mungkinkah beliau mendapatkan sijil, diploma atau ijazah hanya secara pembelian? Bukankah beliau adalah bekas Timbalan Gabenor “Monetary” Bank Negara Malaysia.

Nampak gayanya cakap-cakap semasa pilihanraya Nor Mohamed Yakcop menunjukkan dirinya bodoh lagi cuba membodohkan orang lain. Bagaimana kita ingin mempercayai seorang yang tidak tahu asas ekonomi seperti beliau untuk terus menjadi Menteri Kewangan Kedua sekiranya menang dalam pilihanraya umum ke-12 kali ini.

Sepatutnya orang yang bodoh lagi membodohkan ini perlu kita semua tolak. Asas ekonomi pun nampaknya kosong. Patutlah Bank Negara Malaysia pernah kecundang sebanyak RM30 bilion dalam permainan FOREX (Dagangan Matawang Asing - “Foreign Exchange”) sekitar tahun 1993 dahulu. Semuanya gara-gara seorang kakitangannya (Nor Mohamed Yakcop) yang tidak pandai mengenai kewangan dan ekonomi.

Saya sebenarnya malu bila mendengar bicara yang dituturkan oleh Nor Mohamed Yakcop kerana ianya secara tidak langsung menunjukkan bahawa kita (rakyat Malaysia) tidak pandai memilih calon untuk menjawat jawatan Menteri Kewangan Kedua. Sudahlah Abdullah Ahmad Badawi dahulu gagal dalam jurusan ekonomi di Universiti sehingga memaksa beliau menukar jurusan kepada jurusan agama, Nor Mohamed Yakcop pula nampaknya sama seperti Abdullah Ahmad Badawi (kosong dalam bidang ekonomi)

Terbukti bahawa ekonomi Malaysia (Kementerian Kewangan) dikendalikan oleh dua orang badut yang sama bodoh lagi membodohkan. Abdullah Ahmad Badawi yang gagal dalam jurusan ekonomi dan Nor Mohamed Yakcop yang juga gagal mencerna ilmu ekonomi.

Habislah Malaysia kalau berterusan begini. Ekonomi Malaysia pastinya akan jatuh menjunam.


*********************************************************

Cadangan DAP: Rakyat boleh menderita







As Second Finance Minister of Malaysia, Nor Mohamed Yakcop has met with prominent financial personalities such as George Soros



PULAU PINANG 25 Feb. – Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberi amaran, cadangan DAP supaya setiap keluarga bergaji kurang RM6,000 sebulan diberikan bonus RM6,000 setahun, boleh mengakibatkan rakyat yang berpendapatan rendah menderita.

Katanya, cadangan manifesto DAP itu jika diteruskan boleh menyebabkan inflasi yang tidak menentu serta kadar pengangguran yang teruk berbanding tahap inflasi 3.3 peratus sekarang.

Beliau berkata, manifesto itu boleh menyebabkan apa yang diusahakan kerajaan dalam membangunkan negara sejak 50 tahun lalu musnah sekelip mata.

Menurutnya, golongan yang teruk menerima kesan negatif nanti ialah petani, peladang, pekerja industri dan pihak yang terlibat dalam sektor pengangkutan termasuk pemandu lori.

‘‘Cadangan DAP ini mungkin bersifat populisme tetapi amat tidak bertanggungjawab kerana ia akan membawa kesusahan kepada rakyat.

‘‘Bagi kerajaan, secara prinsip kita bukan tidak setuju dengan penetapan gaji minimum tetapi apa yang kita buat ialah pendekatan secara holistik menerusi penyediaan latihan dan pembangunan modal insan.

‘‘Dengan Perdana Menteri telah menggerakkan pelbagai polisi untuk sektor swasta berkembang, ia akan membolehkan rakyat menikmati gaji lumayan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nor Mohamed mengulas cadangan yang diutarakan DAP dalam manifesto parti itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 supaya ‘Bonus Malaysia’ sehingga RM6,000 setahun diberikan kepada keluarga yang berpendapatan bulanan RM6,000 ke bawah.

Cadangan itu terkandung dalam lapan perkara manifesto berkenaan yang dilancarkan oleh Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng yang kononnya dapat memastikan kualiti hidup rakyat yang lebih baik.

Beliau berkata, kenaikan harga barang keperluan secara mendadak juga tidak dapat dielak jika cadangan pemberian bonus RM6,000 setahun itu direalisasikan.

‘‘Pelabur asing dan tempatan juga kurang berminat untuk melabur dengan pelbagai perkembangan negatif ini.

‘‘Justeru, apa yang diingini kerajaan untuk memastikan negara kompetitif akan terbantut berbanding yang ditunjukkan oleh China dan negara maju lain,” katanya.

Beliau berkata, dengan negara tidak lagi kompetitif ia mengakibatkan eksport menurun dan pertumbuhan ekonomi terjejas.

Nor Mohamed yang berkempen di kawasan Parlimen Tasek Gelugor akan berdepan dengan calon Pas, Ismail Salleh pada pilihan raya umum 8 Mac ini.


Rujukan:
http://ketuaperusuh.wordpress.com/2008/02/26/bodoh-lagi-membodohkan/

http://www.utusan.com.my/utusan/special.asp?p.....01.htm


Friday, February 22, 2008

Kenapa senyap bila ahli Umno berdemonstrasi?

Ahmad Tajdid
Fri | Feb 22, 08 | 8:19:18 pm MYT

Tiba-tiba Umno dan BN menjadi begitu phobia dengan unjuk rasa rakyat atau demonstrasi. Menjelang pilihan raya, isu demonstrasi dijadikan agenda BN untuk memburukkan PAS dan parti-parti pembangkang.


Media elektronik dan cetak yang dimiliki BN saban hari cuba memprojekkan PAS dan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai pembawa budaya demonstrasi jalanan yang kononnya bertentangan dengan adat budaya tempatan.

"Demonstrasi jalanan adalah budaya kasar dari Barat yang sama sekali tidak dapat diterima oleh masyarakat negara ini," kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Rais mengulas kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS akan melaksanakan demokrasi lebih telus termasuk membenarkan demonstrasi jalanan jika berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum 8 Mac ini.

Sentimen Rais dikongsi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Masing-masing beranggapan kononnya demonstrasi boleh mengancam keselamatan negara, menakutkan orang awam dan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat.

Begitulah lunaknya para pemimpin Umno bila bercakap. Tanpa sedar realiti politik Umno menjerat leher mereka sendiri.

Sejak sehari dua ini, demonstrasi jalanan sebenarnya berlaku di banyak tempat di negara ini. Di Kuala Terengganu, Kangar dan Ipoh, ribuan anggota Umno keluar berdemonstrasi di hadapan Wisma Darul Aman, Kuala Terengganu dan kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh kerana membantah senarai calon yang diumumkan Menteri-Menteri Besar terbabit.

Di Kangar, demonstrasi besar-besaran diadakan di perkarangan rumah Menteri Besar bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Shahidan Kassim yang khabarnya digugurkan dari senarai pencalonan.

Dan banyak lagi demonstrasi kecil-kecilan dilakukan ahli-ahli Umno kerana tidak berpuas hati dengan senarai calon pilihan raya yang diumumkan.

Sayangnya siri-siri demonstrasi ini tidak langsung dilaporkan media massa pro-BN termasuk TV1 yang kini kian rancak diperalatkan BN untuk kepentingan politiknya.

Mengapa? Kerana para perancang kempen BN tidak mahu insiden yang memalukan ini diketahui seantero negara.

Apa salahnya demonstrasi aman? Betulkah ia amalan demokrasi Barat? Tanggapan itu sebenarnya dangkal dan tidak berpijak di bumi nyata. Demonstrasi adalah satu fenomena global. Ia berlaku di Amerika Syarikat yang mengamalkan demokrasi liberal dan juga di Republik Islam Iran yang melaksanakan demokrasi berasaskan Islam.

Demonstrasi berlaku di negara-negara aman seperti Britain dan Perancis. Malah ia berlaku di negara-negara dalam kekacauan seperti wilayah Palestin yang dijajah dan selatan Lubnan.

Demonstrasi atau unjuk rasa adalah satu wahana demokrasi yang datuk nenek kita gunakan untuk menentang Malayan Union. Malah demonstrasi bukan satu fenomena asing dalam sejarah negara Malaysia merdeka walaupun negara berada dalam keadaan darurat.

Bagaimanapun demonstrasi kini menjadi igauan BN yang memerintah kerana beberapa sebab utama. Pertama: Demonstrasi boleh memetik kesedaran sebahagian rakyat yang kini dibelenggu fenomena kejahilan maklumat akibat kongkongan maklumat oleh parti yang memerintah. Kedua: Perkembangan politik serantau menunjukkan bagaimana regim pemerintah yang rasuah dan mengkhianati amanah rakyat seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand berjaya ditumbangkan dengan kuasa rakyat melalui demonstrasi.

Kerana itulah demonstrasi dihalang. Ia tiada kaitan langsung dengan soal norma, kepatuhan undang-undang mahupun budaya resam tempatan. Ia perlu dihalang kerana berupaya mendedahkan kebobrokan Umno dan BN di mata umum.

Sebagai seorang budayawan Melayu asli, Rais boleh menerima gelekan pinggul penyanyi dangdut Inul dari Indonesia dan membenarkan persembahan kumpulan rock Barat yang membuka baju dan memasukkan tangan ke dalam seluar; sedangkan kedua-duanya adalah budaya kurang ajar yang benar-benar bertentangan dengan norma agama dan budaya Timur.

Mengapa enggan menerima satu budaya global yang telah diamalkan para penentang Malayan Union - yang ramai di antaranya mengasaskan Umno - semata-mata kerana takutkan bayang-bayang sendiri?

Nampaknya pemimpin Umno perlu lebih masa untuk mempelajari sejarah dan peradaban bangsa sendiri. Tentunya bukan dengan bahasa Inggeris!



Rujukan: http://harakahdaily.net/index.php?option.......12620&Itemid=28

Tuesday, February 19, 2008

Pembangkang Diramal Menang Besar

Itu bakal berlaku di negara Pakistan. Bagaimana pula di Malaysia nanti? Ini kerana faktor yang hampir sama iaitu penolakkan rakyat terhadap kerajaan yg memerintah. Tambahan pula kedua-dua negara mempunyai faktor yang sama iaitu mengekang kebebasan bersuara dan media secara total.

Bagaimana nanti ni?.....

********************************

Pembangkang diramal menang besar


ISLAMABAD, Feb. 19 (Reuters) - Para penentang Presiden Pakistan Pervez Musharraf diramal memenangi pilihan raya negara ini selepas para pengundi menolak parti sekutunya, sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depannya sekutu kuat AS itu yang memerintah sejak tahun 1999.

Tiada parti yang dijangka memenangi majoriti dalam perebutan menguasai 342 kerusi Dewan Perhimpunan Kebangsaan tetapi parti pembangkang bekas Perdana menteri Benazir Bhutto dan seorang lagi bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, dijangka menang besar.

-Reuters



Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan........pg=bt_03.htm

Saturday, February 16, 2008

Jangan lupa kuasa politik Melayu

Pendapat
PERSOALAN utama peminat politik tanah air telah pun terjawab. Soal siapa calon yang bertanding kini menghangatkan suasana, baik di warung kopi sehinggalah ke lobi hotel mewah.

Analisis prapilihan raya pada tahun ini amat menarik sekali. Apakah akan ada vote swing di saat-saat akhir? Apakah akan ada undi protes akibat tidak puas hati dengan calon parti?

Apakah akan ada sentimen perkauman melampau yang boleh menyebabkan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sering bergantung kepada undi kaum lain akan hilang langsung wakil di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri?

Hakikatnya sudah ada sindrom yang terlupa bahawa kuasa politik negara masih dan tetap kekal di tangan orang Melayu.

Cuma bezanya kali ini ialah sudah ada ‘suara-suara’ halus yang cuba memperlekeh dan melupakan kuasa undi orang Melayu.

Baik pembangkang mahupun parti kerajaan, mereka tahu undi orang Melayu amat penting dalam penerusan karier dan matlamat politik mereka.

Undi orang Melayu tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja. Lim Kit Siang tetap mahukan undi orang Melayu bagi menjamin kemenangan kukuh sejajar dengan jawatan Pengerusi DAP yang disandangnya.

Datuk Seri Samy Vellu pasti menagih undi orang Melayu di Sungai Siput untuk menang. Begitu juga Datuk Seri Ong Ka Ting, pasti mahukan sokongan kuat orang Melayu sebagai bukti beliau pemimpin kanan BN.

Apakah corak pengundian pada tahun ini dalam merencanakan keputusan pilihan raya umum kali ke-12 ini? Mungkinkah keputusan tahun ini lebih mirip kepada pilihan raya umum 1999?

Ramai pengundi Melayu berpindah kepada Pas dan Keadilan. BN diselamatkan oleh pengundi Cina dan India yang mengakibatkan sokongan kepada DAP amat merosot.

Atau keputusan kali ini lebih cenderung kepada pilihan raya 2004 yang menyaksikan BN menang besar dengan memenangi 199 kerusi berbanding 20 kerusi oleh pembangkang.

Peribadi Perdana Menteri dengan lebih terarah kepada kerajaan bersih dan kerajaan terbuka telah dapat menakluk pengundi Melayu yang menyebabkan Pas dan PKR kalah teruk.

Tetapi perlu diingat bahawa undi Cina dan India ketika itu telah balik semula kepada DAP.

Akhirnya tibalah tahun 2008 yang sekali lagi menyaksikan arus dan corak pengundian yang bakal dilaksanakan oleh pengundi.

Realitinya semua kaum ada masalah menjelang pilihan raya umum kali ini.

Orang Melayu dengan masalah ekonomi cukup makan mereka, kaum Cina dengan arus perniagaan yang tidak menentu dan India pula dengan dakwaan mereka dipinggirkan.

Tidak seperti pada tahun 1999, yang ketika itu hanya orang Melayu yang tersentuh emosinya, pada kali ini boleh dikatakan semua kaum mempunyai isu dan ketidakpuasan yang tersendiri.

Majoriti pengundi, sama ada ahli parti komponen BN atau rakyat yang taat setia kepada negara tetap akan mengundi BN.

Walaupun ada pendapat pemimpin BN yang menyatakan kebimbangan akan ada kemerosotan undi daripada bukan Melayu ekoran beberapa isu tertentu termasuk Hindraf, hakikat di barisan akar umbi adalah sebaliknya.

Seharusnya BN perlu bimbang terhadap pengundi Melayu yang seakan-akan merajuk ekoran daripada suasana politik terkini.

Apakah mereka lupa bahawa kuasa politik masih terletak di tangan orang Melayu?

Para pemimpin BN terutamanya daripada UMNO harus turun menambat hati golongan akar umbi yang semakin resah terhadap beberapa tuntutan yang dianggap sangat melampau dari parti komponen bukan Melayu.

Inilah yang patut disasarkan oleh BN dalam tempoh berkempen pilihan raya umum. Kita mahukan semua komponen BN turun padang mengubat luka dan kecewa orang Melayu.

Mereka wajib mengakui hakikat undi orang Melayu tersangat penting sebagai penerus karier politik mereka.

Tanpa undi Melayu, akan hancur berderai karier politik seseorang pemimpin, malah sebuah parti.

Dalam berusaha untuk mendapatkan undi bukan Melayu, jangan sesekali lupa bahawa undi Melayu amat besar kuasa dan pengaruhnya.

Jangan pula menyukarkan pilihan raya kali ini yang akhirnya boleh menyebabkan kepastian dan keyakinan yang diinginkan - berubah dalam sekelip mata. Realitinya orang Melayu masih memegang tampuk kuasa politik.

– SHAIFUL BAHRI SAIDIN,

Sekinchan, Selangor.



Rujukan: http://www.utusan.com.my.......pg=re_05.htm

Saturday, February 2, 2008

Apabila Menteri-Menteri Bercakaran Sesama Sendiri


















Belum pun ada lagi penamaan calon rasmi pilihanraya mahupun tarikh sebenar pilihanraya ke 12, pak menteri kita sudah bertelagah sesama sendiri. Bukan sahaja perebutan kuasa ini hanya terdengar di dalam mesyuarat ahli persatuan sendiri tapi ianya tersebar sehingga ke akhbar-akbar perdana Malaysia.

Apa nak jadi dengan nasib rakyat Malaysia apabila wakil rakyatnya berebut-rebut tempat kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tapi nasib rakyat marhan masih lagi tak terbela. Jika keadaan ini berterusan nescaya kes perculikan kanak-kanak, jenayah bunuh, rompak & samun menjadi-jadi, kenaikan barang yang tak terkawal, pencerobohan kawasan hutan simpan, pencemaran, kebanjiran pendatang haram dan lain-lain tidak lagi menjadi agenda pemikiran menteri-menteri Malaysia negaraku yang tercinta!!

Kita berharap pertelingkahan ini tidak menjadi negara kita tergadai ke negara lain. Lihat sahaja sejarah lampau tanah melayu ini, apabila para pemimpin sibuk bertelagah pihak luar (Portugis, Belanda dan Inggeris) mengambil kesempatan dengan menjajah tanah melayu. Rujuk: SEJARAH MELAYU: LANDASAN KEHANCURAN NEGARA KOTA MELAKA dan mungkin kita boleh membaca di halaman web ini yang mana antara ringkasannya:

...Salah satu peristiwa atau tragedi yang tidak mungkin dapat kita lupakan ialah tragedi kejatuhan empayar kerajaan Melayu Melaka pada 1511 kepada penceroboh Portugis.

Peristiwa kejatuhan kerajaan Melayu Melaka ini juga menandakan bermulanya era penjajahan di Tanah Melayu selama hampir 446 tahun. Daripada peristiwa tersebut, terlalu banyak pengajaran yang boleh kita dapatkan dan dijadikan peringatan supaya peristiwa seperti itu tidak akan berulang lagi.

Kita semua sedia maklum bahawa kerajaan Melaka ketika itu sudah mula memasuki era kelayuan. Ini dapat ditafsir melalui situasi di dalam pentadbiran kerajaan atau keributan yang berlaku di dalam istana, yang menandakan satu malapetaka sedang berlaku.

Ini terbukti apabila wujud kecemburuan dan kecurigaan di kalangan pembesar terhadap segolongan pembesar di istana.

Keadaan semakin meruncing apabila Bendahara yang berwibawa telah meninggal dunia dan digantikan dengan orang yang tidak bersemangat dan langsung tidak berminat untuk mentadbir.

Sementelahan lagi, Sultan Mahmud ketika itu semakin lupa akan peranan dan tanggungjawabnya sebagai pemerintah.

Akibatnya, para pedagang yang menjadikan Kota Melaka sebagai pusat dagangan antara Timur dan Barat mula merasakan ketidakselesaan mereka untuk berniaga di situ.

Keadaan semakin memburuk apabila cukai dinaikkan, para pedagang dari China berasa mereka dikhianati akibat sikap memihak yang diamalkan oleh Bendahara Melaka ketika itu yang lebih menyenangi pedagang Tamil Muslim dari India memonopoli pasar-pasar di Kota Melaka.

Ini berlaku kerana pedagang Tamil Muslim ini berangapan bahawa mereka merupakan anak emas pemerintah Melaka kerana Bendahara Melaka berketurunan Tamil Muslim...


Rujuk: http://www.pemudaumno.org.my/.......sid=5951


**************************************

Azmi dakwa maruah tercemar


PADANG BESAR 1 Feb. - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid mendakwa imejnya tercemar berikutan pengumuman namanya tidak tercalon untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, kenyataan terbuka melalui akhbar mengenai namanya yang tidak tersenarai sebagai tiga calon tertinggi untuk bertanding pada pilihan raya ke-12 juga menjatuhkan maruah dirinya.

‘‘Selama ini saya berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan tidak mahu komen mengenai politik terutamanya di Perlis.

‘‘Tetapi kali ini saya terpaksa kerana ia melibatkan imej dan saya perlu mengulasnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan masyarakat Cina di Kaki Bukit di sini, hari ini.

Semalam akhbar melaporkan nama Azmi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar dan nama Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Ahli Parlimen Kangar tidak tersenarai untuk bertanding apa-apa kerusi oleh bahagian masing-masing kerana mendapat undi yang tidak mencukupi.

Bagaimanapun, Rabu lalu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menyatakan hasratnya untuk mencadangkan nama kedua-dua pemimpin yang disifatkan sukar dicari ganti bagi bertanding pada pilihan raya kali ini sekiranya nama mereka tidak di calonkan oleh bahagian masing-masing.

Azmi memberitahu, beliau juga kesal dengan cara pemilihan calon yang dibuat pada peringkat bahagian Padang Besar baru-baru ini.

‘‘Saya tidak tahu kaedah yang digunakan kerana biasanya apabila pengundian untuk calon dilakukan, pengiraan undi akan dibuat dan dimaklumkan kepada ahli-ahli sebelum diserahkan kepada pengerusi perhubungan UMNO negeri dan seterusnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

‘‘Saya melihat tidak ada ketelusan dalam pemilihan calon kali ini kerana semuanya dilakukan secara sulit,” katanya.

Katanya, maklumat mengenai nama-nama calon juga adalah sulit dan hanya boleh diumumkan oleh Presiden parti.

‘‘Kalau nama saya tidak ada tak apa, saya serah pada Perdana Menteri, itu hak PM. Jika mahu saya pencen pun tidak menjadi masalah sebab saya sudah lama berkhidmat. Apa juga yang saya lakukan adalah untuk parti.

‘‘Ini sebab maruah dan jika ada yang kata saya tidak popular, itu mustahil kerana sejak saya mengundurkan diri sebagai ketua bahagian dahulu tiap-tiap kali pertandingan nama saya mendapat undi yang paling banyak.

‘‘Saya juga mendapat banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan sokongan terhadap saya,” jelasnya.

Tambahnya, kenyataan yang mengatakan bahawa dia meletak jawatan selepas pilihan raya 2004 juga tidak benar.

‘‘Saya tidak meletak jawatan tetapi hanya mengundurkan diri. Begitu juga dengan Radzi.

‘‘Sebab apa saya letak jawatan dan tidak bertanding sebagai ketua bahagian itu, tidak perlu tahu kerana saya ada sebab tertentu,” katanya.

Menjawab satu soalan beliau berkata, hasrat Shahidan untuk mencadangkan namanya bagi pencalonan adalah baik dan bagus.

Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.....Politik&pg=po_02.htm

Tuesday, January 8, 2008

Tiada siapa berhak cakap pasal tarikh pilihan raya

Kenapa kita sebagai rakyat tidak dibenarkan cakap pasal tarikh pilihan raya umum (PRU)??..... Adakah satu kesalahan daripada segi undang2 ....sudahlah masa berkempen semakin berusia PRU ni semakin pendek !! Kenapa tidak boleh buat andaian tarikhnya??

Malaysia tidak seperti negara lain, PRUnya dilakukan secara surprise atau terkejut (atau buat2 terkejut) dgn diiistiharkan pilihan raya oleh Perdana Menteri.


Amerika, Pakistan Lebih Demokrasi Dari Malaysia !!

Sah ! Rakyat Pakistan Dan Amerika Lebih Demokrasi Dari Kita.

Pilihanraya Pakistan, Tarikh Baru 18 Februari 2008

Pilihanraya Presiden Amerika 4 November 2008

Pilihanraya Umum Malaysia, Tak Tahu-Tahu Lagi !!

LAYAKKAH MALAYSIA DIGELAR NEGARA DEMOKRASI?





nota kaki: Dulu masa sekolah rendah selalu main teka bersama kawan2 bilakah tarikh Hari Raya AidilFitri akan jatuh.

*******************************

‘Tiada siapa berhak cakap pasal tarikh pilihan raya’

KEPALA BATAS 7 Jan. – Semua pihak termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman tidak berhak untuk mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan berhubung tarikh sebenar pilihan raya umum.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya boleh ditentukan dan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru, katanya, tindakan Ab. Rashid baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan berbentuk spekulasi mendakwa sudah mengetahui tarikh sebenar pilihan raya adalah tidak wajar.

“Soalan (bila tarikh pilihan raya) tiada siapa yang boleh keluarkan kenyataan termasuk pemimpin-pemimpin politik kerana itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Jadi, saya pun tidak faham kenapa Pengerusi SPR (Ab. Rashid) boleh keluarkan kenyataan seperti itu, ia bukan kuasa dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria di sini hari ini.

Khairy ditanya mengenai ‘demam pilihan raya’ yang dilihat mula melanda negara berikutan timbulnya banyak spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.

Spekulasi itu antara lain timbul berikutan kenyataan Ab. Rashid pada November lalu yang mendakwa beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya umum semakin hampir, Ab. Rashdi meminta semua pihak bersedia kerana SPR tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum.

Khairy berkata, tindakan mencetuskan spekulasi tarikh pilihan raya hanya akan menimbulkan kesan negatif apabila timbul kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mempolitikkan isu-isu yang berlaku dalam masyarakat.

“Ini perkembangan tidak baik, apa sahaja masalah yang berlaku dijadikan modal politik. Jadi, tidak perlulah kita bercakap pasal bila tarikh pilihan raya, biarlah Perdana Menteri yang tentukan nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy berkata, keprihatinan kerajaan dalam menangani pelbagai isu semasa termasuk bebanan yuran tambahan sekolah dan kenaikan harga barang tidak seharusnya dilihat sebagai taktik kerajaan untuk memancing undi semata-mata.

Katanya, sudah menjadi komitmen kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu-isu berkenaan dan ia dilakukan atas dasar tanggungjawab kerajaan sebagai pemerintah di negara ini.

Justeru, jelasnya, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang menuduh kononnya kerajaan sengaja memenangi hati rakyat dalam menangani isu-isu berkenaan semata-mata untuk meraih perhatian rakyat menjelang pilihan raya umum.

“Bila ada tanggapan bahawa pilihan raya sudah dekat, isu-isu semasa akan menjadi isu-isu politik sehinggalah ada yang kata kerajaan buat itu ini untuk pancing undi, (tuduhan) ini memang biasa berlaku.

“Hakikatnya, kerajaan akan mengambil tindakan penyelesaian yang paling wajar dalam apa juga keadaan sama ada dekat pilihan raya atau tidak sebab itu memang komitmen kerajaan dan ia diamalkan sejak dulu lagi,” jelasnya.



Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp


MENCARI SHARLINIE

MENCARI SHARLINIE
Sharlinie Mohd. Nashar, 5 tahun