Tidak cukup dengan kes-kes di atas terdapat pula kes murid sekolah rendah hampir diculik di luar pagar sekolah!! Wajarkah keselamatan anak-anak diperjudikan demi menuntut ilmu di sekolah? Bagaimanakah keselamatan anak-anak kecil yang menaiki basikal mahupun berjalan kaki ke sekolah, jika perculikan Sharlinie hanya berlaku 200 meter dari kediamannya! Apakah yang harus dilakukan anak anda jika ada seorang wanita menghampiri dengan tujuan untuk bertanya jalan, jika kejadian di Kuala Terengganu (kes culik berhampiran pagar sekolah) mengambarkan betapa kejamnya manusia yang tidak berperi kemanusiaan.
Di zaman yang mana menuntut ibu bapa terpaksa bekerja demi menyara keluarga dan anak-anak terpaksa berdikari untuk pergi ke sekolah bersendirian, siapakah yang dapat memberi jaminan keselamatannya? Adalah amat sukar jika ibu bapa yang bekerja dapat menghantar anak mereka ke sekolah. Mungkin yang mampu bolehlah menyuruh pembantu rumah menghantar anak ke sekolah (itupun jika boleh dipercayai) atau keluarga yang agak berada, anak mereka dihantar dengan pemandu kereta mewah mereka. Tetapi di Malaysia ini ramai ibu bapa tidak mampu memiliki pembantu rumah ataupun pemandu kereta bagi mengawasi anak mereka di luar rumah, apatah lagi mengaji seorang pengawal keselamtan untuk anak mereka.
Di sini semua pihak wajib menangani masalah ini daripada menjadi parah. Selain ibu bapa peranan masyarakat setempat perlulah diambil kira selain daripada kerajaan dan pihak keselamatan khususnya polis. Ibu bapa yang bekerja yang tidak mampu mengawasi anak-anak perlulah menjalin hubungan baik dengan jiran tetangga. Jiran tetangga yang mengambil berat keselamatan anak jiran sekurang-kurangnya tidak membiarkan anak-anak kita berseorangan ketika berada di luar rumah. Antara kaedah yang baik diamalkan ialah jika ada jiran tetangga yang menghantar anak mereka ke sekolah, bolehlah mereka menghantar bersama-sama dengan anak anda. Hal ini dapat dipratikkan jika konsep kejiranan yang baik diamalkan yang mana sikap ini kian terhakis dalam masyarakat terutama di kawasan bandar.
Ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak agar menjauhi daripada orang yang tidak dikenalinya. Jika anak-anak memberitahu anda berlaku gangguan atau perbuatan yang tidak disenanginya perlulah ibu bapa tersebut mengambil sebarang tindakan yang perlu dan bukannya mengambil sikap tidak apa.
Selain daripada itu, tanggungjawap sosial seperti persatuan penduduk, Rukun Tetangga atau pun Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dapat digunakan untuk mengawasi murid sekolah. Apabila anggota-anggota ini meronda ketika murid pergi ke sekolah dan balik ke rumah ianya menjadi kesukaran pihak yang tak bertanggungjawab dari menculik kanak-kanak tersebut. Pihak polis juga perlu melakukan rondaan secara rawak di kawasan sekolah semasa waktu murid keluar masuk sekolah. Sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini berlaku, tindakan pantas dapat dilakukan oleh pihak polis.
Kesimpulannya, seluruh anggota masyarakat perlu digerakkan dapat menjamin keselamatan anak-anak kecil ini dalam menjalani kehidupan seharian yang selamat dan harmoni.
********************************************
Dua murid nyaris diculik
KUALA TERENGGANU - Sebuah sekolah rendah di sini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ekoran kejadian cubaan culik dua muridnya oleh dua wanita di luar pintu pagar depan sekolah tersebut 27 Januari lalu.
Bagaimanapun dalam kejadian pukul 7 pagi itu, penculik dikatakan tidak sempat melarikan murid lelaki dan perempuan berkenaan selepas menyedari kehadiran seorang lelaki yang menghantar anaknya ke sekolah.
Jurucakap sekolah itu memberitahu KOSMO!, pihaknya amat terkejut dengan kejadian yang kali pertama membabitkan murid sekolah tersebut.
Menurutnya, ketika kejadian, seorang lelaki yang menghantar anaknya ternampak seorang wanita keluar dari kereta dan cuba menerpa ke arah dua murid yang sedang berjalan menuju ke dalam kawasan sekolah.
"Bagaimanapun apabila menyedari kehadiran lelaki itu, wanita tersebut tergesa-gesa masuk semula ke dalam kereta Proton Wira yang dipandu seorang lagi wanita dan terus beredar," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.
Ujarnya, lelaki itu kemudiannya melaporkan perkara tersebut kepada pihak sekolah dua jam kemudian dan pihak sekolah memaklumkannya kepada polis.
Katanya, kedua-dua murid tersebut dipercayai tidak sedar mereka sedang diperhatikan.
Ekoran kejadian itu, pihak sekolah mengeluarkan surat peringatan kepada semua ibu bapa mengenai kejadian tersebut.
Sementara itu, tinjauan KOSMO! ke sekolah berkenaan semalam mendapati semua penjaga dan ibu bapa datang menjemput anak-anak mereka di dalam kawasan sekolah.
Langkah itu diambil pihak sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini menimpa murid-muridnya.
Pada masa sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Hazam Abdul Halim ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan tetapi polis akan memantau perkara tersebut.
No comments:
Post a Comment