Teringat kes Nurin Jazlin ni.... masih lagi belum settle... dah berbulan-bulan. Agaknya polis masih dlm siasatan lagi???. ********************************************************* ROGOLBukan salah anda!Apa itu rogol? Rogol adalah satu jenayah keganasan yang berbentuk seksual. Dari sudut undang-undang, rogol adalah satu perbuatan memasukkan zakar lelaki ke dalam faraj anda tanpa kehendak atau kerelaan anda. Jika anda di bawah umur enam belas tahun, seks samada dengan kerelaan atau tanpa kerelaan anda adalah dianggap rogol dan menjadi satu kesalahan undang-undang. Lain-lain jenayah yang melibatkan keganasan seksual Liwat / persetubuhan di luar tabi'i secara paksa, memasukkan objek ke dalam faraj, mulut atau dubur, mungkin lebih menyayatkan hati anda atau lebih bersifat ganas, tetapi ianya tidak dianggap rogol dari segi undang-undang. Walau bagaimanapun, perbuatan ini boleh dianggap jenayah seperti mencabul kehormatan, melanggar kesopanan, seks di luar tabi'i dan percubaan merogol. Rogol itu ...... * BUKAN seks. Ia adalah satu keganasan. Perogol menggunakan kekerasan untuk menguasai dan mengancam anda. Seks diperlakukan sebagai senjata untuk menjatuhkan maruah anda. Rogol merupakan cetusan rasa keganasan, kemarahan dan kuasa bertujuan untuk menyakitkan dan memalukan anda. * BUKAN salah anda. Anda tidak menggalakkan rogol berlaku. Anda tidak minta dirogol dengan memakai pakaian yang seksi atau beraksi seksi. Kelakuan seorang wanita tidak memberi hak kepada seorang lelaki untuk merogolnya. * BUKAN dilakukan oleh orang yang tidak dikenali sahaja. Kebanyakan mangsa/wanita mengenali perogol. Perogol itu mungkin jiran anda, kawan, teman lelaki, ahli keluarga atau mempunyai tali persaudaraan dengan anda. * BUKAN hanya terjadi pada wanita yang muda. Kanak-kanak, wanita tua dan dari pelbagai latar belakang juga dirogol. * BUKAN sesuatu yang terjadi pada waktu malam dan di tempat-tempat yang sunyi sahaja. Rogol boleh terjadi tanpa mengira masa, malam atau siang. Rogol juga boleh terjadi "di tempat yang selamat" seperti di rumah, sekolah dan di tempat kerja. Rogol boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Jika anda di rogol * Jangan bersihkan diri atau tukar pakaian. Tindakan pertama anda mungkin untuk mencuci tubuh anda. Tetapi adalah amat penting bagi anda mendapatkan pemeriksaan perubatan sebelum membersihkan tubuh anda. Air mani dan darah, lumpur, sisa-sisa, sirat, rambut, dan pakaian adalah merupakan satu bukti . * Dapatkan seorang kawan. Minta pertolongan dari seorang kawan yang dapat memberi sokongan untuk menemani anda ke hospital dan balai polis. Adalah traumatik untuk mengimbaskan kembali secara terperinci kejadian rogol itu kepada doktor dan polis. * Pergi ke hospital dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan. Kakitangan hospital akan bertindak memberitahu polis. Lapuran polis boleh dibuat di hospital. Anda juga boleh memilih untuk membuat lapuran di balai polis. Jika anda pergi ke balai polis terlebih dahulu, seorang polis wanita akan menemani anda ke hospital. Di hospital Pertama sekali anda akan diberi borang bagi mendapatkan kebenaran anda untuk membuat pemeriksaan dan untuk hasil pemeriksaan digunakan oleh polis dalam penyiasatan. Doktor akan memeriksa anda, dan bahagian kemaluan anda. Pakaian anda juga akan diperiksa. Penyiasatan polis Selepas laporan polis awal, seorang polis wanita (pegawai penyiasat) akan ditugaskan untuk menyiasat kes anda. Satu penyataan yang lengkap akan diambil. Anda juga mungkin akan diminta untuk menghadiri kawad cam (identification parade) untuk mengecamkan orang yang dituduh merogol anda. Selepas penyiasatan polis Kerajaan melalui Timbalan Pendakwa Raya (TPR), bertanggung jawab untuk mendakwa kes anda. Berdasarkan kepada bukti-bukti kes anda, TPR akan memutuskan samada untuk mendakwa atau tidak. Jika tidak terdapat bukti yang lengkap, TPR tidak akan mendakwa kes ini. Proses di mahkamah Anda sebagai pengadu diperlukan untuk memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi. Anda tidak perlukan peguam, tetapi boleh mendapat perkhidmatan peguam sendiri yang akan bertindak sebagai pemerhati (watching brief) untuk memberi sokongan tambahan kepada anda sebelum dan semasa perbicaraan. Bila anda memberi keterangan terperinci berhubung kejadian rogol, mahkamah boleh memerintahkan orang awam meninggalkan mahkamah. Ini dikenali sebagai perbicaraan tertutup( in camera). Hukuman kesalahan merogol Seksyen 376 Kanun Jenayah menetapkan bahawa sesiapa yang melakukan jenayah rogol akan di hukum penjara selama masa tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dua puluh tahun, dan juga dikenakan hukum dengan sebatan. Nota: Undang-undang di Malaysia tidak mengiktirafkan rogol dalam perkahwinan Memantapkan Semangat Diri Jika anda pernah dirogol, anda mungkin akan mengalami rasa marah, kecewa, takut, bimbang, gementar, rasa bersalah, dan malu. Anda mungkin juga kelihatan tenang dan tenteram atau akan mengasingkan diri untuk beberapa hari. Reaksi ini adalah normal. Ingat, rogol adalah perbuatan jenayah yang dilakukan ke atas anda. Rogol bukan salah anda. Anda mungkin akan merasa lega jika berbincang tentang perasaan anda dengan seseorang yang anda percaya. Atau anda boleh menghubungi Pusat Krisis Wanita untuk mendapatkan bantuan. Bagaimana WCC boleh membantu anda Talipon kami @ 04-2280342 atau datang sendiri ke alamat 24-D, Jalan Jones,10250 Pulau Pinang. WCC memberi bantuan yang berikut: * Kaunseling dan sokongan emosi * Menemani anda ke hospital dan /atau ke balai polis * Nasihat guaman * Rumah perlindungan sementara Perkhidmatan WCC adalah percuma dan sulit. Nombor-nombor talipon yang Penting di Pulau Pinang: Polis (ibu pejabat) 04-2221522 Hospital Besar 04-2293333 (Kecederaan dan Kecemasan) Jabatan Kebajikan Masyarakat 04-6505258 | |
***************************************************************
Peratusan Kes Rogol, Al-Qur’an dan Hadis… Apa kaitan rapat ketiga-tiganya?
90% dari mangsa rogol yang berusia di bawah 12 tahun mengenali perogol terbabit.
Oleh Muhammad Ibn ‘Az
Semua statistik di bawah diambil dari sebuah terbitan dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dengan tajuk Sex Offences & Offenders yang diterbitkan dalam tahun 1997 di bawah kelolaan Lawrence A. Grenfeld.
73% atau hampir 3 dari setiap 4 daripada kes-kes rogol dan serangan seksual yang dilaporkan, dilakukan oleh pemangsa yang dikenali mangsanya. Perogol dalam kategori terbesar ini seringkali terdiri dari kalangan kenalan rapat, kekasih, bekas kekasih, bekas teman hidup (bekas suami), kenalan keluarga, ahli keluarga (cth: Pak cik, bapa tiri, sepupu dsb) dan sebahagian kecil terdiri dari ahli keluarga terdekat (cth: bapa kandung, abang kandung dsb).
-
80% dari mangsa rogol yang membuat laporan polis, berusia di bawah usia 30 tahun.
-
44% - 55% dari jumlah mereka seperti yang disebut di atas, merupakan golongan remaja dan kanak-kanak.
-
90% dari mangsa rogol yang berusia di bawah 12 tahun mengenali perogol terbabit.
-
2/3 dari mangsa yang berusia 18 – 29 tahun mempunyai hubungan awal dengan perogol.
-
6 dari 10 kes rogol berlaku di rumah mangsa atau kenalan mangsa atau rumah saudara mangsa.
-
Lebih separuh dari kes rogol berlaku dalam lingkungan jarak 1 batu (1.609 km) dari rumah mangsa atau berlaku dirumah mangsa.
-
Bagi mangsa yang berusia 12 tahun ke bawah, 43% dari kes mereka dilakukan oleh perogol yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan mereka.
-
Hanya 11% dari mangsa yang berusia 30 dan ke atas mempunyai hubungan kekeluargaan dengan perogol.
-
40% dari mangsa rogol mengalami kecederaan sampingan.
-
5% daripadanya mengalami kecederaan parah.
-
Kecederaan biasa dialami oleh mangsa rogol yang berusia 30 tahun dan ke atas.
-
25% dari mangsa rogol yang dibunuh berusia di bawah 18 tahun.
-
Senjata biasanya digunakan oleh pemangsa/perogol yang tidak dikenali mangsa.
Berdasarkan statistik yang yang diberikan di atas, kesimpulan yang dapat dibuat ialah majoriti daripada kes-kes rogol yang berlaku dilakukan oleh mereka-mereka yang dikenali atau mempunyai hubungan dengan mangsa. Pemangsa-pemangsa ini seakan-akan bebas dalam batasan pergaulan dengan mangsa sehinggakan mempunyai akses untuk memasuki rumah mangsa atau membawa mangsa ke rumah mereka atau mangsa-mangsa ini boleh di bawa keluar dengan sewenang-wenangnya oleh mereka. Ini dibuktikan dengan peratusan kes-kes rogol berlaku dalam lingkungan 1 batu (1.609 km) dari atau dirumah mangsa.
Begitu juga dengan 2/3 dari mangsa rogol yang berusia 18 hingga 29 tahun, menurut laporan tersebut, mereka ini sedang atau pernah mempunyai hubungan intim atau hubungan sebagai kenalan dengan perogol atau pelaku jenayah seksual ini. Batasan pergaulan dalam kes-kes sedemikian tidak disempadani oleh apa-apa batasan.
Kebebasan dalam pergaulan jelas nyata apabila si pemangsa seakan-akan mempunyai satu bentuk kebebasan untuk keluar masuk ke kediaman mangsa. Dalam Islam, batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah jelas dinyatakan. Pengharaman pergaulan bebas tanpa sempadan dalam Islam ini bukanlah bagi tujuan mengikat kebebasan manusia untuk bersosial, tetapi lebih kepada satu bentuk perlindungan kepada mereka yang lemah.
Begitu juga undang-undang yang Allah s.w.t. gariskan melalui jalan Al-Qur’an dan hadis. Undang-undang bukanlah bertujuan untuk menghukum, ianya sebenarnya bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada mereka-mereka yang lemah dan teraniaya serta memberikan keadilan kepada mereka yang teraniaya supaya setiap perbuatan jahat dan buruk ke atas mereka di balas dengan hukuman yang setimpal. Pentingnya menjaga batas pergaulan dalam Islam digambarkan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. di bawah.
Dari Ibnu Abbas r.a., katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai mahram. Begitu juga seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama seorang mahram.” Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: “Isteriku hendak menunaikan ibadat haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ, bagaimana itu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah : “Pergilah kamu haji bersama isterimu!”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Jika berperang mempertahankan Islam dari serangan puak kufur diperintahkan Rasulullah s.a.w. supaya dikirikan dan dikinikan pula tanggungjawab menemani isteri yang bakal mengerjakan haji, maka disini sangat penting bagi kita untuk mengetahui bahawa setiap dari wali itu sangat dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan mahramnya yang berurusan dan mempunyai pekerjaan yang harus dilakukan.
Jika seorang wanita yang dewasa sekalipun diperintahkan Rasulullah s.a.w. supaya ditemani suaminya atau mahramnya, apatah lagi jika anak-anak gadis kita yang masih kecil atau remaja. Malah ada juga bapa-bapa yang tidak bertanggungjawab boleh dengan senang hati menyuruh anak-anak gadis mereka untuk keluar berseorangan ke kedai semata-mata untuk membelikan sekotak rokok bagi memenuhi keperluannya.
Bapa jenis apa seumpama ini? Lembab, bebal atau bodoh? Dengan persekitaran masyarakat yang semakin hari semakin berfikiran seperti manusia tidak berotak dan tidak beragama, sanggup dia lepaskan anak gadisnya berjalan berseorangan dan sekaligus mendedahkannya kepada segala mata-mata jahat yang memerhatikan setiap langkah dan gerak geri untuk diambil kesempatan.
Islam tidak membataskan pergerakan wanita, malah menggalakkan mereka terlibat sama dalam semua aktiviti yang bersesuaian dengan keupayaan mereka hatta menyertai pasukan tentera Islam di medan perjuangan sekalipun. Tetapi biarlah semua persekitaran pekerjaan dan aktiviti yang melibatkan mereka itu memberikan satu jaminan keselamatan ke atas diri mereka dan tidak menindas mereka kerana gender mereka serta memberikan mereka satu persekitaran yang kondusif bagi kemajuan diri mereka dan ummah.
Satu persekitaran yang kondusif membawa erti bahawa mereka di beri peluang samarata untuk maju dan memberikan khidmat mereka serta terjamin keselamatan mereka dari semua anasir-anasir buruk serta gangguan-gangguan dari mana-mana pihak. Jika persekitaran itu sangat tidak kondusif, maka kehadiran mahram diwajibkan ke atas mereka supaya semua hak dan keselamatan mereka dilindungi. Ingat! Sebahagian dari ummah ini ialah wanita dan mereka jugalah yang bakal melahirkan generasi ummah di masa hadapan.
Menafikan sumbangan dan keupayaan mereka bererti membunuh ummah itu sendiri. Saya melihat perkara ini tidak jauh, cukup dengan contoh ibu, ibu mertua, isteri dan adik perempuan saya sendiri, mereka merupakan antara wanita yang mempunyai pandangan-pandangan kritikal yang membuka minda sekaligus dapat memberikan satu teguran membina dalam kelembutan mereka. Setiap kali teguran tersebut dibuat, maka sesuatu yang saya tak pernah terjangka akan keluar dari buah fikiran mereka, mereka hidangkan sebagai alternative kepada pandangan keras dari minda seorang lelaki.
Sesungguhnya Allah itu Maha Halus dalam setiap ciptaanNya. DiciptaNya wanita bukan untuk tunduk kepada Adam tetapi realitinya untuk membantu Adam sebagai check & balance dalam memainkan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini. Mengapa mesti ditolak pandangan dan kritikan dari wanita sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri seringkali menjadikan mereka sebagai sumber mendapatkan pendapat dan buah fikiran. Banyak peristiwa yang dicatatkan hadis di mana Rasulullah s.a.w. mendengar pandangan dari wanita dalam membuat sesuatu keputusan dan adakalanya pandangan tersebut yang diambil baginda, menyelamatkan keadaan ummah yang ada ketikanya diambang pergaduhan. Ini terbukti dalam kes Abdullah Bin Ubay semasa tentera Islam pulang dari perang dengan Bani Mushtaliq.
Rasulullah s.a.w. telah menggariskan batasan-batasan yang perlu dipatuhi dalam hubungan antara bukan mahram bagi mengelakkan segala perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketahuilah! Seorang lelaki bukan mahram tidak boleh bermalam di rumah perempuan janda, kecuali jika dia bernikah dan suaminya ada di rumah, atau ada muhrimnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Sebagaimana yang diketengahkan serta dinyatakan dalam statistik yang dibentangkan di atas, majoriti dari kes-kes serangan seksual dan rogol yang mendatangkan kecederaan berlaku ke atas golongan wanita dalam lingkungan umur 30 tahun dan ke atas. Mengikut laporan dalam terbitan tersebut, majoritinya merupakan kes-kes dimana wanita-wanita tersebut diserang oleh kenalan, teman lelaki, bekas teman lelaki atau bekas suaminya sendiri.
Oleh kerana kebanyakan dari wanita yang mengalami keruntuhan rumahtangga memilih untuk hidup sendiri dan tidak membebankan ibu bapa atau mana-mana mahramnya, maka mereka ini sedikit sebanyak terdedah kepada bentuk-bentuk kemudaratan tidak terjangka dalam kehidupan mereka sehari-harian, lebih-lebih lagi apabila mereka tidak menjaga batas-batas pergaulan sebagaimana ditetapkan Allah dan RasulNya.
Mungkin golongan dari gerakan liberasasi wanita menentang hujah sebegini kerana bagi mereka tiada salahnya menjemput atau melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah, tetapi seringkali mereka terlupa bahawa dalam setiap hati manusia itu terdapat satu bentuk kejahatan yang hanya boleh dikawal dengan kekuatan iman dan mengikut semua langkah precaution yang ditetapkan. Seorang yang kuat imannya juga boleh tewas dengan dugaan sekiranya dia tidak dibantu oleh persekitaran yang boleh menghalangnya melepaskan diri dari terus digoda hasutan nafsu dan dorongan syaitan.
Sebagai contoh, jika anda membela kucing, tentu anda menyedari bahawa kucing juga antara binatang-binatang yang Allah jadikan mempunyai kebijakkan tersendiri. Di rumah ibu saya terdapat banyak kucing yang dibela oleh adik perempuan saya. Adakalanya kucing-kucing tersebut sangat merimaskan tetapi kebanyakan dari masanya, kehadiran mereka menghiburkan hati. Kucing jika kita melihatkan kepada sifat dan sikap mereka, mereka ini merupakan antara penipu-penipu yang sangat licik berlakon.
Saya banyak kali mengalami peristiwa dimana ikan goreng atau nasi bungkus yang saya beli dan makan dirumah ‘dirompak’ kucing-kucing terbabit. Pada ketika saya menikmati hidangan tersebut, kucing-kucing tadi akan datang dan berlakon manja dan buat-buat tidur di depan saya tanpa sekali pun melakukan percubaan untuk mencuri makanan. Tetapi apabila saja saya bangun atau melakukan sesuatu berjauhan dengan makanan tersebut, maka dalam sekelip mata kucing-kucing ini mengambil kesempatan di atas kealpaan saya. Selesai saja ‘merompak’ makanan terbabit, mereka berlari seakan-akan tahu perbuatan mereka tersebut mengundang rasa marah tuan punya makanan, walaupun saya tidak berbuat apa-apa terhadap mereka.
Begitu juga dengan manusia yang Allah s.w.t. kurniakan kekuatan akal yang berkali ganda hebat dari akal kucing-kucing terbabit. Manusia yang didorong oleh hati jahat, nafsu serta syaitan, tentunya tidak akan melepaskan mana-mana peluang yang terhidang di depan mata terutamanya jika mangsanya nanti tidak dapat bertindak balas. Kebanyakan dari kes-kes yang mendatangkan kecederaan dalam mana-mana serangan seksual yang melibatkan wanita dalam lingkungan umur 30 tahun dan ke atas berlaku disebabkan oleh mangsanya yang cuba melawan.
1/5 dari mangsa yang melaporkan yang mereka cuba melawan perogol/penyerang terbabit menyatakan bahawa tindakan mereka itu mengundang kepada kesudahan yang lebih buruk dengan serangan balas oleh perogol terbabit. Jadi langkah terbaik ialah mencegah sebagaimana yang telah digariskan Allah s.w.t. dalam Al-Qur’an dan melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Dari ‘Uqbah r.a. Bin Amir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Hindarilah olehmu masuk ke rumah-rumah wanita!” Lalu bertanya seorang Ansar. “Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang Al Hamwu (keluarga dekat bagi suami, cth: pak cik, saudaranya, anak saudara dan sebagainya).” Jawab Rasulullah s.a.w., “Bahkan itu lebih berbahaya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
1400 tahun yang lalu, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita tentang batasan-batasan ini. Sekiranya mereka yang kita kira sebagai rapat dikatakan Rasulullah s.a.w. sebagai lebih berbahaya, maka apatah lagi dengan bahaya oleh orang-orang luar yang tidak atau baru dikenali. Statistik di atas telah menunjukkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ini, bahawa ¾ dari setiap kes-kes rogol dan serangan seksual melibatkan orang-orang yang dikenali mangsanya terutamanya dari kalangan keluarga dalam kategori Al-Hamwu ini.
Menurut statistik dalam laporan tersebut lagi:
-
67% atau lebih kurang 2/3 daripada semua kes rogol yang dilaporkan, berlaku dari jam 6 petang sehingga 6 pagi.
-
Malam minggu (malam hari Sabtu) merupakan hari dan waktu yang paling banyak kes rogol dicatatkan dalam semua 7 hari dalam seminggu.
Malam minggu sebagaimana yang dinyatakan dalam statistik tersebut merupakan malam yang paling banyak mencatatkan kejadian rogol dan serangan seksual. Sebagaimana yang kita sedia maklum, malam minggu merupakan malam dimana muda mudi dan golongan dewasa gemar keluar bersosial. Dengan batasan-batasan hubungan yang tidak disempadani apa-apa, maka tidak mustahil perkara buruk seperti yang dinyatakan dalam statistik tersebut boleh berlaku. Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang menyatakan bahawa dalam malam terkandung kejahatan dan setan-setan berkeliaran pada malam hari.
Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jangan biarkan ternak dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja. Karena setan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Jelas Rasulullah s.a.w. telah pun memberikan amaran mengenai kejahatan yang terkandung dalam gelapnya malam. Saya memahami hadis ini membawa maksud kemudaratan yang di bawa oleh kedatangan senja termasuk kejahatan dalam bentuk apa yang dibincangkan dalam artikel ini. Tidak hanya demikian, pada suatu senja ketika sedang bersembang dengan seorang pak cik, sepupu dan adik-adik saya selepas selesai membuka khemah kenduri, azan Maghrib berkumandang.
Sebaik saja azan tersebut habis dilaungkan, maka muncullah satu lagi ‘setan’ yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis di atas. Jelas sekali ‘setan’ ini hanya muncul pada waktu cahaya senja masih kelihatan dan menghilang sebaik saja cahaya senja hilang dan muncul gelap malam. ‘Setan’ yang saya temui ini jelas sekali memmenuhi kriteria kemunculan satu jamnya seperti dalam hadis di bawah.
Dari Jabir Bin Abdullah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah, kerana pada ketika itu setan berkeliaran. Satu jam sesudah itu bila telah malam maka biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana setan tidak dapat membuka pintu yang berkunci. Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bejanamu dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya, dan padamkan lampu (ketika hendak tidur).”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis di atas jelas Rasulullah s.a.w. memberikan satu peringatan mengenai penularan wabak penyakit. Setan pertama tersebut juga membawa maksud penyakit bawaan nyamuk. Nyamuk aedes hanya mencari mangsa pada waktu senja. Selepas gelap malam muncul, ianya pun hilang. Deskripsi ini betul-betul tepat dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Saya sudah menghuraikan hadis ini dalam posting saya sebelum ini “Siapakah Sebenarnya Yang Dinamakan Syaitan? Bahagian 1, 2 dan 3. Untuk membacanya klik sini.
Sangat jelas bagi menjauhi segala kemudaratan yang boleh berakhir dengan kejadian rogol serta serangan seksual, maka batas perhubungan hendaklah disempadani mengikut syariat yang telah ditetapkan. Ada juga yang cuba menyalahkan cara berpakaian wanita yang menjolok mata sebagai punca kepada perlakuan rogol yang berlaku.
Saya tidak menafikannya sebagai antara punca, tetapi cara berpakaian wanita itu jatuh kepada kategori penyebab sekunder kepada kes-kes rogol dan serangan seksual ini. Penyebab primernya ialah batasan pergaulan yang langsung tidak dijaga. Sebagaimana statistik tersebut memberikan gambaran jelas bahawa ¾ dari mangsa rogol mengenali mangsanya. Mungkin akan ada yang tidak berpuashati dengan kenyataan saya yang mengatakan bahawa, faktor berpakaian itu jatuh sebagai sebab sekunder.
Sebenarnya, Allah s.w.t. telah memerintahkan dalam Al-Qur’an dalam surah An Nuur ayat 30:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
Arahan ayat hijab ini pertamanya ditujukan kepada kaum lelaki. Arahan Allah ini sangat mudah, effisien dan penuh dengan pendekatan psikologi. Saya sudah menghuraikannya dalam posting saya yang bertajuk “Aurat Muslimah: Satu Penindasan Atau Pembebasan?” (Untuk membaca hikmahnya dan posting tersebut, sila klik sini).
Hanya kemudian dari itu, barulah ayat berkenaan hijab Allah s.w.t. perintahkan ke atas kaum wanita.
(An Nuur 31)
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Jelas sekali Allah s.w.t. memerintahkan kaum lelaki terlebih dahulu menundukkan pandangan supaya tidak terpengaruh dengan dorongan nafsu akibat dari memandang sesuatu yang boleh membangkitkan syahwat. Jadi kenapa hendak disalahkan wanita sekiranya perintah Allah yang pertama Allah s.w.t. tekankan ke atas kita tidak langsung kita penuhi. Apakah kita sebagai lelaki Muslim ini terlalu mementingkan diri, memaksa kaum wanita berubah sedangkan kita tidak mahu berubah? Sedangkan perintah Allah yang pertama ialah kepada kita supaya menundukkan pandangan.
Fahami perintah Allah ini! Ianya satu pendekatan psikologi yang paling hebat untuk merubah dunia disekeliling kita. Baca tentangnya dalam posting saya “Aurat Muslimah: Satu Penindasan Atau Pembebasan?” (Untuk membaca hikmahnya dan posting tersebut, sila klik sini) supaya dapat difahami bagaimana hebatnya sesuatu arahan Allah itu dan kesan daripada pelaksanannya. Sebenarnya, kita ini terlalu ego. Kesukaan kita ialah membiarkan kebodohan dan kesombongan menguasai diri, sedang Allah s.w.t. itu sudah pun meletakkan segalanya dalam susun atur yang paling cantik dan elok untuk dipraktikkan.
Sebenarnya, semua permasalahan sosial ini boleh dikawal dan dikurangkan sedikit demi sedikit sekiranya kita semua sedia mahu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar menurut Al-Qur’an dan hadis. Kembalilah kepada Al-Qur’an dan sunnah, kerana segala-galanya terjawab disana. Tak percaya? Cubalah sendiri, cari guru bertauliah, mohon petunjuk Allah dan dalami Al-Qur’an dengan kefahaman sebenar dan bukan kefahaman sempit.
Anda pasti akan terkejut dengan apa yang anda akan jumpa… percayalah.. ianya berlaku kepada saya dan semua yang cuba mendekati Allah melalui kefahaman ayat-ayat Al-Qur’an dan As Sunnah. Sebut apa saja… Evolusi, Sains angkasa, Penerokaan Angkasa, fizik, geologi, kewujudan makhluk asing, kepupusan dinosaur semuanya disebut dengan jelas dalam Al-Qur’an dan hanya difahami oleh mereka yang berpengetahuan.
Al Qamar 17, 22, 32 dan 40
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Al Israa’ 12
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda, maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.
Terpulanglah… samada kita kembali atau kita dikembalikan, yang pasti 10 minit yang anda luangkan membaca artikel ini takkan kembali kepada anda semula. Kehilangan masa tersebut, menunjukkan bahawa baki umur kita yang ada semakin berkurang. Sudahkah kita bersedia untuk dipanggil pulang? Wallhua’lam….
No comments:
Post a Comment