Tuesday, January 29, 2008

Penjualan Bebola Ikan Perut Babi Di Kepala Batas

Serbuan Jabatan Kesihatan Negeri di sebuah kilang yang menghasilkan bebola ikan yang bercampur bungkusan daging dan perut babi di dalam bilik beku sejuk. Kilang yang beroperasi di kawasan Kepala Batas ini amat menyedihkan kepada umat Islam tentang haram/halal makanan yang dimakan.

Sampai bila keadaan begini berterusan sedangkan kilang yang pernah diserbu pihak berkuasa masih lagi mengulangi kezalimannya terhadap umat Islam. Kenapa dipanggil kezaliman? Sebab umat Islam memang diharamkan memakan sebarang sumber berasaskan binatang khinzir ini, kenapa ianya harus beroperasi lagi! Sepatutnya kilang ini perlu disita terus jika mengulangi kesilapan yang sama. Kerana bebola ikan yang menjadi penambah seri makanan menjadikan makanan itu haram dimakan!

Jika kes status halal ayam ternakan Malaysia yang dipersoalkan masih lagi belum selesai, bagaimanakah umat Islam Malaysia dapat menikmati makanan tanpa merasa ragu-ragu makanan yang dimasak mahupun yang dibeli di restoren? Diharap pihak berwajib memantau perkara ini dengan lebih berat. Adakah sanggup nanti kita memikul tanggungjawab apabila dipersoalkan di padang masyar kelak?

Sama-sama kita fikirkan....


*****************

Bebola ikan perut babi

Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my

KEPALA BATAS: Meloyakan. Begitulah gambaran keadaan sebuah kilang produk berasas makanan laut, bebola ikan di pekan ini apabila dikesan gagal mematuhi peraturan kebersihan ketika beroperasi.

Lebih mengejutkan, bahan mentah termasuk ikan yang sudah diproses juga ditemui bercampur-aduk dengan bungkusan daging dan perut babi di dalam sebuah bilik sejuk beku di kilang berkenaan.

Walaupun tidak memohon sijil halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), namun produk itu dipercayai dibeli pengguna Islam berikutan mendapat pasaran meluas di pasar malam di negeri ini.

Tindakan biadab itu terbongkar apabila sepasukan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri diketuai Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan, Ideris Mohamed menyerbu kilang terbabit, kira-kira 10 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, pengusaha terbabit sempat memaklumkan bungkusan daging dan perut babi berkenaan untuk kegunaan pekerja tetapi alasan diberi menimbulkan kecurigaan berikutan jumlahnya banyak.

Hasil pemeriksaan, Jabatan Kesihatan Negeri merampas sejumlah produk berasaskan makanan laut, bahan mentah bersama 33 tong minyak masak dipercayai dikitar semula dianggarkan bernilai RM300,000.

Sumber berkata, serbuan berkenaan dilakukan buat kali kedua dalam tempoh setahun apabila kilang terbabit didapati masih gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan hingga diarah menutup operasi.

Menurutnya, kilang terbabit juga didapati mengulangi kesalahan sama apabila gagal mengasingkan simpanan barangan di dalam bilik sejuk beku selain cara penyediaan tidak mematuhi peraturan.

“Barangan terutama bahan mentah yang diletakkan di dalam bilik sejuk beku didapati bercampur-aduk dengan daging serta perut babi, dan keadaan ini sudah pasti menimbulkan keraguan.

“Mereka sepatutnya sensitif kerana kemungkinan produk keluaran kilang berkenaan turut digunakan pengguna Islam disebabkan ia juga dipercayai dijual di pasar malam,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati cara penyediaan bebola ikan terbabit gagal mematuhi aspek kebersihan selain menggunakan minyak masak yang digunakan berulang kali.

Menurutnya, pihaknya juga percaya produk makanan terbabit turut menggunakan asid benzoik yang diharamkan, namun pada masa ini siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan pengesahan.

“Kita turut mengambil beberapa sampel produk makanan berkenaan untuk dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di Butterworth untuk membuat ujian analisis,” katanya.

Rujukan: http://www.hmetro.com.my/Current_News...index_html

Monday, January 28, 2008

Impak hiburan liar

Tarmizi Mohd Jam
Fri | Jan 25, 08 | 10:52:18 am MYT




KISAH panas tentang penyebaran gambar porno dan aksi ghairah pelakon utama 'Anak Pontianak', Zarina An-Julie arahan Suhaimi Baba amat memualkan. Ia sebuah drama bersiri ketagori seram yang diputarkan oleh TV3.
Agak sukar untuk dikatakan gambar-gambar itu telah disuperimpose, bila melihat aksi depan kamera yang mengasyikkan. Walaupun Zarina menafikan pembabitan dan menuduh gambar itu superimpose, ini tidak bermakna isu ini telah selesai.

Melalui enjin Yahoo, pelbagai laman menyiarkan gambar-gambar tidak senonoh anak kacukan Melayu-Iran ini dengan mudah diperolehi.

Norhisyam Abu Bakar dalam komentarnya di mSTAR, melahirkan rasa kurang percaya bahawa gambar-gambar itu superimpose. Ia bukan superimpose, tulisnya.

Untuk mencipta superimpose, katanya bukanlah kerja mudah. Kalau satu keping boleh lagi tetapi kalau sudah tujuh keping dari jarak dekat, konsisten dari segi lighting, bayang dan posing, sudah tentulah sukar untuk dikatakan superimpose.

Gejala merudumnya moral anak-anak Melayu beragama Islam kian merunsingkan. Selain dari trend bohsia-bohjan, mat rempit, mat gian, kaki betina, kaki tonggang arak, rompak mencuri, culik, zina dan sebagainya; kini satu trend dahsyat mulai melekat bangsa yang dikatakan lemah-lembut ini.

Sebelum kes Zarina An-Julie ini, sudah ada artis realiti tv swasta yang terjerat dengan gambar bogel (kononnya super impose katanya). Pihak stesen tv mohon dia berhenti daripada rancangan tv tetapi entah bagaimana nasibnya agak baik.

Selepas berhenti, dia glamour terus dapat kerja menjadi dejay di sebuah syarikat radio swasta.

Dulu, kalau kita masih ingat, pelakon muda Jeslina Hashim antara yang ditangkap mabuk di sebuah kelab malam, The Zouk, Ampang terlepas setelah campur tangan pihak atasan. Isu teknikal dijadikan alasan membebaskan mereka.

Hasilnya, ketagihan artis-artis muda yang gila glamour, menjadikan kelab-kelab malam sebagai surga mereka kian sukar dibendung.

Apa yang menimpa pelakon Anak Pontianak ini, jelas mempamerkan tabiatnya yang gemar ke kelab malam, malah ada yang mendakwa terlalu sosial dan kaki pil khayal.

Jika ini benar, ia amat menyedihkan.

Telah menjadi trend kini, mereka yang mengejar glamour dan publisiti makin berani mencipta retorik yang tidak senonoh. Semata-mata mahu dijulang namanya. Diingati dan dipahati oleh peminat mereka.

Masih panas dibahaskan, kisah mantan anggota kumpulan nasyid yang 'tergelincir rel' kerana memburu glamour dari resipi Barat yang hodoh.

Faizal Tahir yang diumpil bakatnya dari Program One In A Million mempamerkan aksi-aksi melampau dengan membuka baju dalam Rockin Birthday Concert anjuran TV8 hingga mencetuskan kontroversi.

Jika diperhatikan, sudah menjadi satu trend semasa, beberapa artis baru atau yang masih baru mencari tapak untuk popular, mengambil langkah berani sama ada secara sengaja atau tidak menjatuhkan diri mereka dalam kontroversi yang melacurkan maruah diri.

Budaya clubbing, bersuka-ria di kelab malam hingga mabuk yang sudahpun sebati menjadi budaya remaja di Barat, kini artis-artis kita meniru jejaki mereka bagi menepati dunia artis yang glamour dan bercampur-baur.

Inilah yang terjadi. Semakin banyak kes ditemui bagaimana anak-anak remaja kian hilang pegangan agama mereka semata-mata mengejar secebis glamour picisan.

Apa yang menarik, kian kuat Islam Hadhari dimuntahkan kepada rakyat, makin menjadi-jadi gejala sosial remaja, kadar jenayah yang menakutkan, selain isu-isu teruk dan hodoh terus menguasai tempat pertama keruntuhan moral bangsa Melayu.

Walaupun Islam Hadhari diumpan, namun sikap kerajaan yang double standard terhadap pesalah seumpama ini telah memberi impak buruk kepada Islam.

Jelas, Islam Hadhari ala Perdana Menteri tidak membantu apa-apa untuk memulihkan kesedaran dan membaiki mutu akhlaq ummat Islam di negara ini.

Pernah, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim ketika isu tangkapan The Zouk menulis dalam ruangan beliau di Mingguan Malaysia bertajuk 'Kehidupan malam KL dan UK' yang meluahkan perasaannya darihal keadaan moraliti di Malaysia.

Dr. Ismail telah membangkitkan isu ini dalam muzakarah mufti-mufti seluruh negara dan majlis muzakarah tersebut telah mengeluarkan kenyataan:

"Penguatkuasaan berteraskan amar makruf dan nahi mungkar perlu diteruskan kerana ia dituntut bagi mempertahankan kewibawaan rakyat dan imej negara. Apabila kita pilih kerajaan, kita beri kuasa kepadanya untuk mempertahankan nilai moral rakyat kerana kerosakan moral membawa bencana kepada negara." - (Berita Harian)

"Kerajaan perlu bertegas dalam soal membenteras kemungkaran dan tidak menjadikan 'kesalahan teknik' dalam satu dua insiden pihak berkuasa agama sebagai asas menolak undang-undang bagi menjaga moral rakyat. Mufti-mufti berharap kerajaan akan mempertahankan konsep membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran seiring dengan usaha membanteras rasuah, peyelwengan kuasa, penyalahgunaan dadah dan sebagainya." - (Utusan Malaysia)

Ini bermakna kerajaan Hadhari sepatutnya berkewajiban menolak sama sekali memorandum yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang menuntut agar 'moral policing' ini dibatalkan atas asas menganggu dan mengekang kebebasan individu.

Kita amat bimbang, trend yang berlaku pada hari ini sebahagian dari rancangan musuh Islam untuk menghancurkan agama Allah yang suci ini dengan memperkenalkan isu-isu hak asasi dan seumpamanya.

Dan sudah pasti, Islam Hadhari yang kurang jelas itu tidak upaya menangkisnya seperti yang terjadi sekarang. Anak kecil tidak selamat. Anak remaja juga tidak selamat. Mereka adalah harta ibu bapa. Rosak mereka maka hancurkan bangsa dan agama!

Bagaimana agaknya jika Faizal Tahir mendabik dada membuka baju di khalayak itu hak asasinya? Apa pula pula Zarina berhujah, aksi-aksi lucah dan gambar bogel itu juga hak asasinya sebagai manusia?

Saturday, January 26, 2008

Tiada niat persenda - Datuk Yusof Haslam

Setelah diasak kritikal dan cemuhan, Datuk Yusof Haslam akhirnya tampil di dalam kenyataan akbar Metro 26/01/2008. Pernyataan memohon maaf berhubung drama Gerak Khas episod Syaitan Bertopeng.

Walaubagaimana pun, pernyataan maaf sahaja tidak mencukupi di atas ketidak prihatinan syarikat Skop Productions terhadap keluarga Jazimin serta polis. Ini kerana sebab-sebab yang dinyatakan sebelum ini pihak penerbit perlu dikenakan tindakan yang lebih wajar. (Rujuk http://hak-pengguna.blogspot.com...drama-gerak-khas-syaitan-bertopeng.html)

Jika dibandingkan kesalahan yang dilakukan Faizal Tahir yang membuka baju di pentas, kesalahan yang dilakukan drama Gerak Khas adalah lebih berat. Seharusnya drama ini juga perlu digantung selama 3 bulan dan tindakan lain seperti saman daripada keluarga Jazimin.


"What should we do then? Let them make money and more money on the sufferings of other people and the same time taint the reputation of the victim's family?

I think both Yusof Haslam and RTM is just inviting suits to come their way. While we have not proceeded with any legal action on the slandering news reports and the distribution of autopsy pictures, this latest straw is making my blood boiling urging us to see our lawyer on the best action to take on all the now "three" matters. Are we wrong? Let us know!"

Jasni AJ http://nurinjazlin.blogspot.com/2008/01/case-solved-gerak-khas.html




******************************************

Tiada niat persenda


EKORAN pertikaian mengenai episod Gerak Khas di RTM2, dua minggu lalu yang dikatakan ada persamaan dengan kes mangsa pembunuhan ngeri, Nurin Jazlin Jazimin, 9, syarikat penerbitan drama bersiri kepolisan itu, Skop Productions Sdn Bhd (Skop) memohon maaf.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata beliau mewakili dirinya, pengarah dan penulis skrip drama itu menyusun 10 jari memohon kemaafan kalau sekiranya ada pihak yang terasa selepas menonton siri itu.

Katanya, tiada sebarang niat untuk mempersenda mana-mana pihak dengan memaparkan kisah yang dikatakan ada persamaan dengan kes pembunuhan ngeri Nurin Jazlin yang mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia tidak lama dulu.

“Saya memang tiada niat perkecilkan mana-mana pihak. Ia cerita rekaan untuk memberi pengajaran pada masyarakat dalam menangani jenayah. Malah sebagai iktibar dan mendidik mereka untuk berhati-hati dengan keadaan sekeliling.

“Sekarang ini jenayah boleh berlaku di mana saja dan masyarakat perlu prihatin. Inilah mesej yang ingin disampaikan dalam Gerak Khas. Namun persamaan cerita kadang kala tidak dapat dielak.

“Justeru, atas insiden tidak disengajakan ini, saya memohon maaf jika ada yang tersinggung. Saya juga akan lebih peka dan berhati-hati pada masa akan datang,” k a t a nya ketika ditemui di pejabatnya di Setapak, semalam.

Yusof sudah menerbitkan drama kepolisan sejak 23 tahun lalu. Malah bagi siri Gerak Khas, lebih 400 episod dihasilkan dalam tempoh hampir sembilan tahun disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Memang tidak dinafikan ada antara isu diketengahkan isu baru.

Malah sebelum ini juga saya pernah memaparkan isu Black Metal dalam Gerak Khas.

“Apapun, saya tetap memohon maaf. Sebagai hamba Allah yang serba kurang dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, saya minta m a a f ,” t e ga s nya .

Sementara itu bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil berkata, apa yang disiarkan dalam Gerak Khas itu mempunyai persamaan dengan kisah menimpa keluarganya.

“Ia memang cerita saya dan anak saya. Justeru, bagaimana pula boleh dikatakan cerita rekaan sedangkan ia kisah keluarga saya.

“Terus-terang, saya marah dan terkilan dengan penayangan drama itu.

Malah kebanyakan orang yang ditemui juga mengatakan ia cerita kami,” k a t a nya .

Jazimin berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kes berkenaan belum selesai. Katanya, penjenayah terbabit pun masih bebas.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan mengenai pertikaian terhadap drama Gerak Khas kerana menayangkan kisah Allahyarham Nurin Jazlin.

Lebih-lebih lagi apabila objek seperti timun, terung termasuk kes ceti haram (along) turut dipaparkan.


Rujukan: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro...Article/index_html

Friday, January 25, 2008

Pertikai slot drama Gerak Khas

Disiarkan di akhbar Metro bertarikh 24/01/2208, susulan kritikal orang ramai mengenai drama Gerak Khas terbitan Skop Productions yang disiarkan di RTM2. Sebelum itu, blog ini telah menyiarkan artikel yang bertajuk
Drama Gerak Khas: Syaitan Bertopeng Diharap pihak RTM perlu memberi perhatian sensitiviti masyarakat sebelum menyiarkan sebarang drama atau rencana.

************************************************

myMetro

Pertikai slot drama Gerak Khas

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Diam tak diam, hampir lima bulan ia berlaku. Sepanjang tempoh itu, kes pembunuhan Nurin belum selesai dan dalam siasatan. Bagaimanapun, drama Gerak Khas yang disiarkan RTM2, baru-baru ini ‘mengingatkan’ semula penonton pada kes itu.

Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata dia terkejut dengan jalan cerita yang dipaparkan drama itu sebaik menontonnya dua minggu lalu.

Katanya, kisah drama itu saling tidak tumpah seperti peristiwa yang menimpa Allahyarham Nurin.

“Pada saya, ia bukan saja mempunyai persamaan kes Nurin tetapi jalan cerita digambarkan hampir tiada perbezaan. Kisahnya menceritakan seorang kanak-kanak diculik di pasar malam dan akhirnya ditemui meninggal dunia.

“Lebih mendekatkan kisah itu dengan Nurin apabila objek timun dan terung turut dipaparkan dalam drama berkenaan. Malah, ia juga dikaitkan kes ceti haram (along) yang digambarkan kena-mengena dengan si bapa.

“Sebagai orang yang menonton, saya dapat meneka paparan drama itu ada kaitan kes Nurin. Selain itu, saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai mengenainya. Rata-rata, mengakui cerita itu kisah Nurin,” katanya.

Kamal berkata, pada mulanya dia tidak tahu mengenai penayangan episod Penjenayah Seksual Kanak-Kanak dalam drama Gerak Khas itu. Namun, disebabkan kenalan yang memaklumkan dan dia tidak melepaskan peluang menonton bahagian kedua episod itu.

“Selepas menontonnya, saya dapati persamaan memang ada. Bagi saya, kalau itu cerita rekaan kenapa mesti ada objek seperti timun dan terung. Tidakkah ada objek lain yang boleh gunakan seperti ranting, kayu dan batang cangkul,” katanya.

Kata Kamal, penulis skrip drama itu seharusnya lebih peka. Jika mahu menyiarkannya juga, skrip perlu diolah sebaik mungkin supaya ia tidak mengganggu sensitiviti pihak lain.

“Saya pun tidak tahu sama ada mereka (pihak penerbitan drama Gerak Khas) pernah berjumpa Jazimin Abdul Jalil (bapa Nurin) untuk berbincang mengenai skrip. Pada saya, seelok-eloknya adakan perbincangan supaya ia tidak terlalu menjurus pada kisah sebenar.

“Setakat jadikan media rujukan, itu tidak cukup. Oleh itu, bila keadaan seperti ini berlaku seeloknya pihak berkenaan berjumpa Jazimin untuk memohon maaf. Saya tidak tahu bagaimana cerita ini boleh disiarkan sedangkan kes belum lagi selesai,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Sapura Sipon, berkata penyiaran drama itu, terpulang pada masyarakat menilainya.

“Jika masyarakat mengaitkan dengan Nurin, maka ia akan nampak seperti kes kanak-kanak itu. Tetapi, kalau masyarakat menontonnya sekadar biasa, maka ia tiada apa-apa.

“Dalam soal ini, penerbit juga tidak boleh dipersalahkan kerana nama mangsa tidak disebut. Malah, niatnya pun boleh dikatakan baik untuk mendidik masyarakat supaya berhati-hati.

“Bagi saya sendiri, penerbit mungkin ada sebab tersendiri. Cuma, penonton harus bersangka baik,” katanya.

Kata Dr Sapura lagi, bagaimanapun, adalah baik sekiranya penerbit drama untuk tidak cuba mensensasikan isu berkaitan yang berlaku terutama sekali membabitkan kes jenayah yang boleh memberi kesan pada keluarga mangsa.



Rujukan: http://www.hmetro.com.my/....20080124101830/Article/index_html

Wednesday, January 23, 2008

Minta kad kuasa polis yang periksa rumah

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan agar memastikan pemeriksaan dari rumah ke rumah yang dijalankan bagi mencari Sharlinie Mohd. Nashar, 5, hanya dilakukan oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed menegaskan, orang ramai perlu mengambil langkah melihat kad kuasa anggota polis terbabit bagi mengelak daripada ditipu.

“Orang ramai boleh meminta polis supaya menunjukkan kad kuasa sebelum membenarkan mereka memasuki rumah,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang disiarkan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini kepada semua ketua polis daerah supaya melaksanakan gerakan mencari Sharlinie dari rumah ke rumah.

Menurut Musa, gerakan yang dimulakan terlebih dahulu di Lem bah Klang itu akan turut meliputi Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Arjunaidi menjelaskan, pihak polis tidak memerlukan sebarang waran untuk melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.
“Waran hanya diperlukan untuk kes tertentu tetapi dalam kes ini (mencari kanak-kanak hilang) tidak perlu,” ujar beliau.
Mengulas arahan Musa itu, bapa Sharlinie, Mohd. Nashar Mat Hussain mengalu-alukan usaha terbaru polis itu.

Bermulanya Cerita-cerita Panas VIP di tahun 2008

Terbaru pula berita sensasi di blog-blog tempatan dan juga diulas dalam akhbar Metro. Tidak diketahui siapa dan tujuannya.

Percaturan politik di Malaysia nampaknya sedang menuju ke satu trend yang amat kotor. Selepas seorang menteri MCA kecundang akibat penyebaran satu dvd seks membabitkan dirinya, kini satu lagi dvd seks yang membabitkan seorang lagi menteri dikatakan akan disebarkan di Kepala Batas.

Sumber-sumber memberitahu blog ini, dvd itu dikatakan memaparkan “adegan seks amalan kaum Nabi Lut” yang dilakukan oleh seorang menteri. Ikut terminologi moden, menteri itu dikatakan berasmaradana secara gay.

Menteri itu daripada komponen BN. Tetapi bukannya daripada MCA. Menurut tulisan blogger Datuk Kamal Amir yang disiarkan dalam Malaysia Today, dvd itu dipercayai “melibatkan pemimpin tertinggi negara dalam percaturan moral sewaktu kunjungannya ke Singapura.”

Sumber-sumber juga memberitahu blog ini bahawa amalan gay menteri berkenaan sebenarnya sudah diketahui oleh pucuk kepimpinan negara. Tetapi, ianya terus dirahsiakan daripada pengetahuan rakyat jelata.

Oleh itu, soalnya di sini ialah, kalau amalan songsang menteri berkenaan dirahsiakan selama ini, mengapakah kini terdapat usaha untuk mendedahkannya? Siapakah pihak ini? Dan, apakah motif politik di sebaliknya?

Sumber-sumber yang sama juga mempercayai pihak yang terlibat mendedahkan skandal seks para menteri kebelakangan ini adalah dari satu kumpulan tertentu yang dikatakan mempunyai nafsu politik yang amat rakus.

Rujukan: http://www.kuda-kepang.blogspot.com/

Friday, January 18, 2008

Drama Gerak Khas: Syaitan Bertopeng

Drama 'Gerak Khas' episod Syaitan Bertopeng (bahagian 1) disiarkan pada 11/01/2008 dan juga sambungan bahagian 2 disiarkan pada 18/01/2008 patut diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa khususnya polis. Drama ini diarahkan oleh Saleh Majid yang diterbitkan di bawah Skop Productions (Datuk Yusof Haslam). Ini kerana cerita tersebut mempunyai jalan cerita menghampiri kisah keluarga Jazimin dan Allahyarham adik Nurin Jazlin.

Dalam episod kali ini, mengisahkan seorang budak (Danial) yang merupakan anak jiran seorang anggota polis telah diliwat setelah diculik semasa pergi ke pasar malam. Kemudiannya, plot kisah ini tertumpu kepada seorang peniaga warong nasi lemak Encik Ali yang mempunyai hutang dengan Along tanpa menjelaskannya. Ali juga mempunyai seorang anak gadis yang berusia 7 tahun yang bernama Natasha yang gemar pergi ke pasar malam bersama rakan. Alkisah pada satu malam Natasha ingin pergi ke pasar malam tapi dimarahi oleh bapanya, setelah dipujuk oleh isteri Ali, Natasha pergi juga bersama rakan seusia dengannya.

Tapi setelah 11.30 malam Natasha tidak balik dan ini mendorong bapa Natasha mencari merata-rata tempat tapi gagal. Keesokkannya satu laporan polis dibuat oleh keluarga Natasha. Dalam pada masa yang sama terdapat plot Natasha menangis apabila didatangi lelaki yang mebawa timun dan juga terung. Beberapa hari kemudian mayat kanak-kanak telah dijumpai di tapak pembinaan oleh pekerja buruh. Pada plot sebelumnya, terdapat 2 orang pemuda sedang merakam tapak pembinaan sebagai tempat bakal 'shooting' pergaduhan.

Setelah di buat 'post mortem' ternyata DNA mayat kanak-kanak tersebut adalah Natasha dan ianya mati akibat ditusuk benda tajam di dalam alat sulitnya. Namun bapa si mati menyangkal mayat itu merupakan anaknya. Di dalam beberapa adegan Ali meraung, menangis, menjerit dan memarahi pemberita dan juga pasukan polis kerana masih menyangka anaknya masih lagi hidup. Setelah mayat kanak-kanak itu dikebumikan, Ali masih lagi menafikan si mati tersebut adalah Natasha. Namun ianya dilakukan sebagai penghormatan kepada si mati.

Plot seterusnya, kumpulan Along tersebut berjumpa Ali dan mengugut akan membunuhnya. Namun atas kecekapan polis drama 'Gerak Khas', kumpulan Along itu diberkas dan disoal siasat. Pada plot yang lainnya pula 2 orang pemuda sedang memaparkan tempat bakal yang di'shooting' kelak kepada pengarah mereka. Namun pengarah tersebut mempercayai rakaman tersebut mempunyai 'clue' tentang pembunuhan Natasha dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

Setelah pita rakaman itu diberi kepada polis, pasukan polis drama 'Gerak Khas' menganalisa rakaman dan ternampak sebuah van yang mempunyai plat nombor yang jelas yang didaftarkan atas nama bapa kanak-kanak malang tersebut! Ketika disoal-siasat polis, Ali telah menjelaskan van tersebut selalu diberi pinjam kepada rakan baik dan juga regular customer nasi lemak iaitu Zarol Zahari.

Setelah serbuan polis dibuat di rumah Zarol terdapat cebisan pakaian dan gambar Natasha diseksa dan di samping itu terdapat juga lagi timun dan terung di atas meja ketika penangkapan Zarol. Selepas itu baru diketahui Zarol merupakan seorang pesakit mental yang terlepas lari setelah merogol adiknya sendiri.

Daripada sipnosis di atas cerita itu memberi gambaran tentang pembunuhan adik Nurin Jazlin. Oleh sebab itu, tindakan harus diambil terhadap pengarah cerita Saleh Majid, penerbit Skop Productions dan juga RTM sebagai penyiar drama tersebut. Ini kerana:


  • Pihak drama 'Gerak Khas' telah menyiarkan cerita yang masih lagi di bawah siasatan polis. Sepatutnya kes ini tidak boleh dibuat pengambaran kerana ianya menganggu siasatan.

  • Drama ini membawa kesan trauma dan juga memalukan terhadap Encik Jazimin sekeluarga. Baru 5 bulan kehilangan anak tersayang, tapi pihak drama 'Gerak Khas' telah menyiarkan cerita yang menghampiri kisah adik Nurin Jazlin.

  • Watak Ali ini yang seolah-olah Encik Jazimin adalah seorang peminjam wang Along yang tak bertanggungjawab dan juga seorang panas baran. Ia juga menonjolkan Ali tidak mempercayai tugas polis dan juga keputusan DNA kanak-kanak tersebut. Adakah perlu watak ini memperlakukan Encik Jazimin seorang yang sangat tidak bertanggungjawab, bagaimana perasaan Jazimin dan keluarga apabila menonton drama ini?

  • Drama ini juga memaparkan seolah-olah pasukan 'Gerak Khas' mereka lebih efisen daripada PDRM yang dapat menyelesaikan kes itu dengan segera. Perlukah drama sebegini diberi ruang apabila kes masih lagi disiasat oleh PDRM?

  • Memaparkan pasar malam merupakan tempat yang tidak selamat kerana sering menjadi tempat penculikan kanak-kanak. Hal ini, menyebabkan orang ramai berasa takut pergi ke pasar malam dan membawa kerugian kepada peniaga-peniaga pasar malam. Sedangkan kes perculikan kanak-kanak berlaku di mana sahaja!
Oleh itu, disarankan sekali lagi agar pengarah, penerbit dan penyiar drama 'Gerak Khas' perlu diberi tindakan sewajarnya untuk teladan pada masa hadapan. Janganlah difikirkan peluang publisiti, eksplotasi dan keuntungan semata-mata tapi ianya memberi impak negatif kepada pihak yang lain. Diharap juga kajian diberi kepada drama yang menyatakan "kisah ini tidak berkaitan samaada masih hidup atau mati", tapi bagaimana drama itu jika ditonton oleh orang ramai terutama kanak-kanak, mengaitkan ia kejadian sebenar yang berlaku pada sesebuah keluarga. Harap maklum.




Thursday, January 17, 2008

Sila Pujuk Menteri Keselamatan Dalam Negeri

Beliau (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) menegaskan, jika pemilik bangunan gagal memasang CCTV selepas diarahkan oleh polis, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari arahan yang bertujuan menjaga keselamatan orang ramai yang berada di premis tersebut.

“Ini akan membolehkan pihak polis mengambil tindakan segera apabila berlaku sesuatu jenayah ataupun dapat menghalang berlaku jenayah yang ingin dilakukan oleh seseorang,” katanya.

Rujukan: http://utusan.com.my/utusan/arkib........pg=mh_01.htm



Jan
16,
Pada 8 Jan., media massa melaporkan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebagai bertanya: “Apa yang sedang berlaku? Mengapa tinggi sangat?”
Dua soalan serentak daripada Perdana Menteri itu merujuk kepada peningkatan besar kadar jenayah yang dilaporkan kepada polis pada tahun 2007.

Adalah sesuatu yg amat mendukacitakan, mengejutkan dan memalukan , jika seorang PM yg juga merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tiba-tiba melontarkan persoalan itu ketika rakyat jelata sedang menderita dengan peningkatan statistik jenayah yg mengancam keselamatan diri dan keluarga. Bukankah sepatutnya beliau bertindak terlebih dahulu sebelum keadaan menjadi parah ? Apakah sudah lupa mengenai kempen kesedaran jenayah yg diwar-warkan pada awal tahun 2007 ( 十万火急全民拼治安 ).

Mungkin... kerana Tun Dr. Mahathir pernah mengatakan: Melayu Mudah Lupa !!

Bukan sahaja Menteri Keselamatan Dalam Negeri yg harus bertanggungjawab, bagaimana pula dengan timbalannya , apakah makan gaji buta juga ? Apakah peranan Datuk Foo Ah Kiow selaku timbalan menteri . Mungkin Datuk Foo sudah lupa bebanan dan tanggungjawab yg dipikul atau sedang tunggu wang pencen sahaja ?


Maklumat Tambahan:
MCA Cheras sedang berkempen agar diwujudkan sebuah balai polis di Cheras. Sokonglah kempen mereka !!
Amat memalukan , sebuah kempen harus dilancar utk memujuk Menteri Keselamatan Dalam Negeri menjalankan tanggungjawab beliau.

Tuesday, January 15, 2008

Adakah Harga Minyak Petrol Naik Pada 2008: "Saya tidak tahu"

Begitulah petikan kata-kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop apabila ditanya oleh wartawan yang menemurah beliau. Kemungkinan besar kita akan merasai lagi kenaikan harga minyak pada tahun 2008 ini disebabkan kenyataan yang tidak konsisten daripada menteri yang berkenaan.

Soalnya: "Bilakah kenaikan ini akan berlaku dan berapakah nilai kenaikan tersebut?" Sama-sama kita tunggu dan lihat, adakah ianya akan berlaku atau tidak! Bagaimana pun rakyat dapat menampung perbelanjaan harian akibat kenaikan ini.

**************************

RM35b subsidi minyak 2008

PUTRAJAYA 14 Jan. – Kerajaan dijangka mengeluarkan subsidi bahan bakar sebanyak RM35 bilion pada tahun ini, jika harga minyak mentah terus berada di paras AS$$100 setong.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, jumlah RM35 bilion itu dikira jika harga minyak kekal pada harga AS$$100 setong sepanjang tahun ini.

‘‘ Jika purata harga minyak dunia lebih rendah maka (subsidi) lebih rendah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian berkenaan, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada harga runcit petrol akan dinaikkan berikutan harga minyak dunia terus meningkat, beliau berkata: ‘‘Saya tidak tahu.”

Menurutnya, kerajaan akan terus berbelanja untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi membolehkan sektor swasta menjana kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Nor Mohamed berkata, kepelbagaian ekonomi Malaysia membantu negara menghadapi cabaran luaran berikutan kutipan cukai yang efisyen serta kecekapan dalam pengurusan.

‘‘Kerajaan yakin ekonomi akan berkembang sebanyak enam peratus atau lebih tinggi berbanding 2007 iaitu antara 6.0 hingga 6.5 peratus pada tahun ini,'' katanya.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/...Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm



Iklan Layanan Masyarakat Oleh M@RHAEN

Friday, January 11, 2008

Apabila Stage Bermasalah: Persembahan Artis 2007

Kita lihat tiga artis wanita popular di Malaysia... Di dlm video YouTube.

TERSANGKUT

Ketika artis Misha Omar ni menyanyi dgn pakaian yg panjang berjela2 ... tetiba sahaja tersangkut di tangga ketika membuat persembahan lagu 'pulangkan' tapi bernasib baik Misha pandai cover



JATUH TERGOLEK

Selepas tu artis Jacklyn Victor jatuh tergolek di stage yg sama sblm bermula menyanyi...



TERSANGKUT, JATUH TERGOLEK DAN TERTIARAP

Lain pula artis ni Rosnah Mat Aris .... walaupun tak ada aksi lucu dan eksiden di stage... tapi akibat mulut akhirnya diri sendiri binasa.... Itulah akibatnya seorang artis Malaysia yg digam kerana terlampau berani menghina Nabi Muhammad dan juga isteri baginda Siti Khatijah...

Seharusnya artis ini perlu dihukum dengan lebih keras lagi kerana sebagai seorang muslim terlalu kurang ajar dgn perkataan "dah nak mampus" tuu... begitu juga pengacaranya yang tergelak seolah tiada apa yang perlu dia hiraukan...




Hai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa, permusuhan dan berbuat durhaka kepada Rasul. Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan. Al-Mujadila :: 9

Tuesday, January 8, 2008

Tiada siapa berhak cakap pasal tarikh pilihan raya

Kenapa kita sebagai rakyat tidak dibenarkan cakap pasal tarikh pilihan raya umum (PRU)??..... Adakah satu kesalahan daripada segi undang2 ....sudahlah masa berkempen semakin berusia PRU ni semakin pendek !! Kenapa tidak boleh buat andaian tarikhnya??

Malaysia tidak seperti negara lain, PRUnya dilakukan secara surprise atau terkejut (atau buat2 terkejut) dgn diiistiharkan pilihan raya oleh Perdana Menteri.


Amerika, Pakistan Lebih Demokrasi Dari Malaysia !!

Sah ! Rakyat Pakistan Dan Amerika Lebih Demokrasi Dari Kita.

Pilihanraya Pakistan, Tarikh Baru 18 Februari 2008

Pilihanraya Presiden Amerika 4 November 2008

Pilihanraya Umum Malaysia, Tak Tahu-Tahu Lagi !!

LAYAKKAH MALAYSIA DIGELAR NEGARA DEMOKRASI?





nota kaki: Dulu masa sekolah rendah selalu main teka bersama kawan2 bilakah tarikh Hari Raya AidilFitri akan jatuh.

*******************************

‘Tiada siapa berhak cakap pasal tarikh pilihan raya’

KEPALA BATAS 7 Jan. – Semua pihak termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman tidak berhak untuk mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan berhubung tarikh sebenar pilihan raya umum.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya boleh ditentukan dan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru, katanya, tindakan Ab. Rashid baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan berbentuk spekulasi mendakwa sudah mengetahui tarikh sebenar pilihan raya adalah tidak wajar.

“Soalan (bila tarikh pilihan raya) tiada siapa yang boleh keluarkan kenyataan termasuk pemimpin-pemimpin politik kerana itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Jadi, saya pun tidak faham kenapa Pengerusi SPR (Ab. Rashid) boleh keluarkan kenyataan seperti itu, ia bukan kuasa dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria di sini hari ini.

Khairy ditanya mengenai ‘demam pilihan raya’ yang dilihat mula melanda negara berikutan timbulnya banyak spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.

Spekulasi itu antara lain timbul berikutan kenyataan Ab. Rashid pada November lalu yang mendakwa beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya umum semakin hampir, Ab. Rashdi meminta semua pihak bersedia kerana SPR tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum.

Khairy berkata, tindakan mencetuskan spekulasi tarikh pilihan raya hanya akan menimbulkan kesan negatif apabila timbul kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mempolitikkan isu-isu yang berlaku dalam masyarakat.

“Ini perkembangan tidak baik, apa sahaja masalah yang berlaku dijadikan modal politik. Jadi, tidak perlulah kita bercakap pasal bila tarikh pilihan raya, biarlah Perdana Menteri yang tentukan nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy berkata, keprihatinan kerajaan dalam menangani pelbagai isu semasa termasuk bebanan yuran tambahan sekolah dan kenaikan harga barang tidak seharusnya dilihat sebagai taktik kerajaan untuk memancing undi semata-mata.

Katanya, sudah menjadi komitmen kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu-isu berkenaan dan ia dilakukan atas dasar tanggungjawab kerajaan sebagai pemerintah di negara ini.

Justeru, jelasnya, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang menuduh kononnya kerajaan sengaja memenangi hati rakyat dalam menangani isu-isu berkenaan semata-mata untuk meraih perhatian rakyat menjelang pilihan raya umum.

“Bila ada tanggapan bahawa pilihan raya sudah dekat, isu-isu semasa akan menjadi isu-isu politik sehinggalah ada yang kata kerajaan buat itu ini untuk pancing undi, (tuduhan) ini memang biasa berlaku.

“Hakikatnya, kerajaan akan mengambil tindakan penyelesaian yang paling wajar dalam apa juga keadaan sama ada dekat pilihan raya atau tidak sebab itu memang komitmen kerajaan dan ia diamalkan sejak dulu lagi,” jelasnya.



Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp


Monday, January 7, 2008

Susahnya hendak dapat pinjaman perniagaan


Begitulah nasib usahawan di Malaysia terutama Bumiputra. Walau pun kerajaan menyediakan pelbagai jabatan dan agensi untuk membantu peniaga-peniaga di Malaysia yang kekurangan dari segi dana modal, tapi ia hanya dinikmati "sebilangan kecil usahawan terpilih".


Kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat malas berusaha atau tidak mengambil peluang, jika peluang itu hanya diperolehi oleh mereka yang mempunyai "kabel-kabel tertentu". Persoalan yang harus dijawab sampai bila keadaan ini harus berlarutan?? .... Lihat sahaja bagaimana restoran Bumiputra, Kelantan Delight restaurant di KLCC terkubur. Sila rujuk ahmadatalib.blogspot.com/2007/08... pada siapa harus peniaga-peniaga ini dapat mengadu??..........



***********************************

Susahnya hendak dapat pinjaman perniagaan

SAYA bekerja dengan syarikat swasta dan akan bersara pada akhir tahun ini. Buat masa ini saya ada membuat kerja sambilan perniagaan katering di Lembah Klang untuk menampung perbelanjaan yang sering meningkat.

Kita pun sering disarankan supaya berusaha menambah pendapatan di samping makan gaji.

Saya berazam untuk meneruskan perniagaan katering saya dengan lebih serius. Walaupun telah mempunyai peralatan katering tetapi saya memerlukan modal untuk menambah dan menggantikan peralatan yang rosak dan lama.

Saya telah pergi ke Pameran Gerak Usahawan di PWTC pada tahun lalu. Atas kesedaran di situ, saya kemudian memohon pinjaman daripada Jabatan Kewangan Mikro di ibu pejabat sebuah bank tempatan di Kuala Lumpur. Sayang sekali ia telah ditolak melalui surat bertarikh 27 November 2007.

Saya kemudian memohon pinjaman mikro daripada sebuah lagi bank tempatan cawangan Banting. Sehingga hari ini tiada apa-apa berita mengenainya.

Saya hairan kenapa tiada seorang pun kakitangan dari dua bank tersebut datang melawat tapak perniagaan saya, untuk membuat penilaian sebelum mereka menolak permohonan saya.

Akhir sekali saya cuba memohon pinjaman daripada Tekun Nasional cawangan Kapar, Klang pada November 2007 dan sedang menunggu jawapan. Kalau pinjaman Tekun Nasional pun ditolak, siapa lagi yang boleh saya harap untuk membantu usahawan macam saya.

Kerajaan berusaha menggalakkan rakyat berniaga dan institusi kewangan disaran supaya membantu usahawan tetapi tidak menjadi kenyataan kerana birokrasi mereka.

Saya percaya bahawa kerajaan kita ikhlas membantu rakyatnya asalkan kita rajin berusaha dan jangan bersikap hangat-hangat tahi ayam.

Kalau langkah untuk mendapat modal perniagaan daripada institusi kewangan gagal, ah long akan menjadi pilihan terakhir kami. Usaha kerajaan membanteras kegiatan ah long tidak akan tercapai.

– BAKAL PESARA,

Klang.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=


Tuesday, January 1, 2008

``Sayalah orangnya dalam pita seks,'' kata Chua Soi Lek


Ketika manusia sedang menyambut tahun 2008 tersebar satu berita sensasi, panas dan membara, alkisah seorang menteri terlibat dalam aksi cakera padat digital (DVD) yang didakwa mengandungi adegan hubungan seks antara seorang pemimpin politik nasional berasal dari Johor dengan seorang wanita berusia 20-an.


Kini cerita tersebut bukanlah satu khbar angin atau desas-desus yang melanda negeri di selatan Semenanjung M'sia setelah menteri berkenaan Naib Presiden MCA dan juga Menteri Kesihatan telah membuat pengakuan terbuka.


Persoalannya adakah terdapat satu lagi episod sensasi yang mana sebuah mahkamah di Malaysia akan menghidangkan satu drama yang melibatkan para pelakon yang begitu popular dan juga prop-prop yang menarik seperti tilam, cctv, cadar dan pelbagai bahan bukti yang bakal dikemukakan. Adakah siri ini akan mengulangi cerita-cerita pada tahun 1998 yang juga melibatkan pemimpin politik atasan. Nah, saksikan satu lagi drama yang menarik pada tahun 2008.



**********************************************

``Sayalah orangnya dalam pita seks,'' kata Chua Soi Lek

01/01/2008 6:46:39 p.m.

LABIS 1 Jan — Naib Presiden MCA dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengakui bahawa beliaulah orangnya dalam pita yang merakamkan aksi hubungan seks bersama seorang wanita, dengan salinannya diedarkan secara meluas di Johor.

Di sebalik pengakuan itu, Dr Chua menegaskan bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam kerajaan dan parti.

Sambil membaca kenyataan yang disediakan pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat MCA Labis di sini, menteri itu menyifatkan wanita terbabit sebagai kawan baiknya.

Katanya, beliau bertemu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bagi memberikan sendiri penjelasan dan memohon maaf kepada Perdana Menteri.

Dr Chua berkata, beliau turut berjumpa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berhubung perkara itu.

“Apa yang paling penting ialah keluarga, isteri dan anak saya telahpun menerima permohonan maaf saya,” katanya pada sidang akhbar yang penuh sesak, yang turut dihadiri para penyokongnya.

Beliau merayu kepada media supaya memberikan ruang kepada keluarganya semasa mengharungi saat-saat yang getir ini.

Sambil menegaskan bahawa rakaman pita berkenaan bukan dibuat oleh beliau sendiri, Dr Chua berkata, pihak di sebalik pembikinan rakaman itu tidak penting namun sebab mereka berbuat demikian adalah jelas.

Beliau, bagaimanapun enggas mengulas lanjut.

Dr Chua memanjangkan permohonan maaf kepada rakan sejawatan, penyokong dan semua rakyat Malaysia.

“Saya juga ingin mengucapkan teirma kasih kepada mereka kerana keprihatinan dan sokongan menerusi panggilan telefon serta SMS,” katanya.

Ditanya pemberita mengenai tindakan selanjutnya, Dr Chua berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.

“Saya serahkan kepada polis untuk menyiasat. Saya sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membuat laporan polis tetapi polis sudahpun memulakan penyiasatan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kedudukanya dalam kerajaan, Dr Chua berkata:

“Saya berkhidmat atas kehendak Perdana Menteri.”

“Saya tidak akan membiarkan orang (lain) untuk mengancam atau menghalang tugas saya.”

Dr Chua berkata, beliau mendapat tahu mengenai rakaman itu Ahad lepas apabila seorang rakan memberikannya salinan cakera video itu.

Menteri itu berkata, segala-galanya seperti biasa baginya dan beliau akan meneruskan tugas sebagai menteri Kabinet dan di dalam MCA.

Dr Chua, yang kelihatan tenang sepanjang sidang akhbar itu, menghadiri satu majlis di Hospital Segamat sebelum berjumpa pihak media, yang disusuli dengan perjumpaan bersama masyarakat India di Labis.

Sebaik sahaja selesai sidang akhbar itu, Pengerusi MCA Bahagian Labis Tan Kok Hong berkata anggota parti bahagian berkenaan akan menyokong Dr Chua sebagai Anggota Parlimen Labis.

“Kami akan memberikan beliau sokongan agar terus menjadi calon di Labis,” katanya.

Dr Chua, yang juga Pengerusi MCA Johor, mempertahankan kerusi Parlimen Labis untuk Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2004 setelah menewaskan calon DAP, Tee Gey Yan dengan majoriti 10,729 undi.

Chua memperoleh 16,469 undi manakala Tee mendapat 5,740 undi. Sebelum itu, kerusi Parlimen Labis disandang bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.- Bernama



Rujukan:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1231
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1231

***************************************

TERKINI 03/01/2008 : Perletakkan semua jawatan penting oleh Dr Chua Soi Lek bererti berakhirnya politik beliau. Ini untuk mengelakkan implikasi negatif yang bakal diterima oleh parti politik yang memerintah.

MENCARI SHARLINIE

MENCARI SHARLINIE
Sharlinie Mohd. Nashar, 5 tahun