Tuesday, January 29, 2008

Penjualan Bebola Ikan Perut Babi Di Kepala Batas

Serbuan Jabatan Kesihatan Negeri di sebuah kilang yang menghasilkan bebola ikan yang bercampur bungkusan daging dan perut babi di dalam bilik beku sejuk. Kilang yang beroperasi di kawasan Kepala Batas ini amat menyedihkan kepada umat Islam tentang haram/halal makanan yang dimakan.

Sampai bila keadaan begini berterusan sedangkan kilang yang pernah diserbu pihak berkuasa masih lagi mengulangi kezalimannya terhadap umat Islam. Kenapa dipanggil kezaliman? Sebab umat Islam memang diharamkan memakan sebarang sumber berasaskan binatang khinzir ini, kenapa ianya harus beroperasi lagi! Sepatutnya kilang ini perlu disita terus jika mengulangi kesilapan yang sama. Kerana bebola ikan yang menjadi penambah seri makanan menjadikan makanan itu haram dimakan!

Jika kes status halal ayam ternakan Malaysia yang dipersoalkan masih lagi belum selesai, bagaimanakah umat Islam Malaysia dapat menikmati makanan tanpa merasa ragu-ragu makanan yang dimasak mahupun yang dibeli di restoren? Diharap pihak berwajib memantau perkara ini dengan lebih berat. Adakah sanggup nanti kita memikul tanggungjawab apabila dipersoalkan di padang masyar kelak?

Sama-sama kita fikirkan....


*****************

Bebola ikan perut babi

Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my

KEPALA BATAS: Meloyakan. Begitulah gambaran keadaan sebuah kilang produk berasas makanan laut, bebola ikan di pekan ini apabila dikesan gagal mematuhi peraturan kebersihan ketika beroperasi.

Lebih mengejutkan, bahan mentah termasuk ikan yang sudah diproses juga ditemui bercampur-aduk dengan bungkusan daging dan perut babi di dalam sebuah bilik sejuk beku di kilang berkenaan.

Walaupun tidak memohon sijil halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), namun produk itu dipercayai dibeli pengguna Islam berikutan mendapat pasaran meluas di pasar malam di negeri ini.

Tindakan biadab itu terbongkar apabila sepasukan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri diketuai Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan, Ideris Mohamed menyerbu kilang terbabit, kira-kira 10 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, pengusaha terbabit sempat memaklumkan bungkusan daging dan perut babi berkenaan untuk kegunaan pekerja tetapi alasan diberi menimbulkan kecurigaan berikutan jumlahnya banyak.

Hasil pemeriksaan, Jabatan Kesihatan Negeri merampas sejumlah produk berasaskan makanan laut, bahan mentah bersama 33 tong minyak masak dipercayai dikitar semula dianggarkan bernilai RM300,000.

Sumber berkata, serbuan berkenaan dilakukan buat kali kedua dalam tempoh setahun apabila kilang terbabit didapati masih gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan hingga diarah menutup operasi.

Menurutnya, kilang terbabit juga didapati mengulangi kesalahan sama apabila gagal mengasingkan simpanan barangan di dalam bilik sejuk beku selain cara penyediaan tidak mematuhi peraturan.

“Barangan terutama bahan mentah yang diletakkan di dalam bilik sejuk beku didapati bercampur-aduk dengan daging serta perut babi, dan keadaan ini sudah pasti menimbulkan keraguan.

“Mereka sepatutnya sensitif kerana kemungkinan produk keluaran kilang berkenaan turut digunakan pengguna Islam disebabkan ia juga dipercayai dijual di pasar malam,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati cara penyediaan bebola ikan terbabit gagal mematuhi aspek kebersihan selain menggunakan minyak masak yang digunakan berulang kali.

Menurutnya, pihaknya juga percaya produk makanan terbabit turut menggunakan asid benzoik yang diharamkan, namun pada masa ini siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan pengesahan.

“Kita turut mengambil beberapa sampel produk makanan berkenaan untuk dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di Butterworth untuk membuat ujian analisis,” katanya.

Rujukan: http://www.hmetro.com.my/Current_News...index_html

No comments:

MENCARI SHARLINIE

MENCARI SHARLINIE
Sharlinie Mohd. Nashar, 5 tahun