Friday, January 25, 2008

Pertikai slot drama Gerak Khas

Disiarkan di akhbar Metro bertarikh 24/01/2208, susulan kritikal orang ramai mengenai drama Gerak Khas terbitan Skop Productions yang disiarkan di RTM2. Sebelum itu, blog ini telah menyiarkan artikel yang bertajuk
Drama Gerak Khas: Syaitan Bertopeng Diharap pihak RTM perlu memberi perhatian sensitiviti masyarakat sebelum menyiarkan sebarang drama atau rencana.

************************************************

myMetro

Pertikai slot drama Gerak Khas

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Diam tak diam, hampir lima bulan ia berlaku. Sepanjang tempoh itu, kes pembunuhan Nurin belum selesai dan dalam siasatan. Bagaimanapun, drama Gerak Khas yang disiarkan RTM2, baru-baru ini ‘mengingatkan’ semula penonton pada kes itu.

Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata dia terkejut dengan jalan cerita yang dipaparkan drama itu sebaik menontonnya dua minggu lalu.

Katanya, kisah drama itu saling tidak tumpah seperti peristiwa yang menimpa Allahyarham Nurin.

“Pada saya, ia bukan saja mempunyai persamaan kes Nurin tetapi jalan cerita digambarkan hampir tiada perbezaan. Kisahnya menceritakan seorang kanak-kanak diculik di pasar malam dan akhirnya ditemui meninggal dunia.

“Lebih mendekatkan kisah itu dengan Nurin apabila objek timun dan terung turut dipaparkan dalam drama berkenaan. Malah, ia juga dikaitkan kes ceti haram (along) yang digambarkan kena-mengena dengan si bapa.

“Sebagai orang yang menonton, saya dapat meneka paparan drama itu ada kaitan kes Nurin. Selain itu, saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai mengenainya. Rata-rata, mengakui cerita itu kisah Nurin,” katanya.

Kamal berkata, pada mulanya dia tidak tahu mengenai penayangan episod Penjenayah Seksual Kanak-Kanak dalam drama Gerak Khas itu. Namun, disebabkan kenalan yang memaklumkan dan dia tidak melepaskan peluang menonton bahagian kedua episod itu.

“Selepas menontonnya, saya dapati persamaan memang ada. Bagi saya, kalau itu cerita rekaan kenapa mesti ada objek seperti timun dan terung. Tidakkah ada objek lain yang boleh gunakan seperti ranting, kayu dan batang cangkul,” katanya.

Kata Kamal, penulis skrip drama itu seharusnya lebih peka. Jika mahu menyiarkannya juga, skrip perlu diolah sebaik mungkin supaya ia tidak mengganggu sensitiviti pihak lain.

“Saya pun tidak tahu sama ada mereka (pihak penerbitan drama Gerak Khas) pernah berjumpa Jazimin Abdul Jalil (bapa Nurin) untuk berbincang mengenai skrip. Pada saya, seelok-eloknya adakan perbincangan supaya ia tidak terlalu menjurus pada kisah sebenar.

“Setakat jadikan media rujukan, itu tidak cukup. Oleh itu, bila keadaan seperti ini berlaku seeloknya pihak berkenaan berjumpa Jazimin untuk memohon maaf. Saya tidak tahu bagaimana cerita ini boleh disiarkan sedangkan kes belum lagi selesai,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Sapura Sipon, berkata penyiaran drama itu, terpulang pada masyarakat menilainya.

“Jika masyarakat mengaitkan dengan Nurin, maka ia akan nampak seperti kes kanak-kanak itu. Tetapi, kalau masyarakat menontonnya sekadar biasa, maka ia tiada apa-apa.

“Dalam soal ini, penerbit juga tidak boleh dipersalahkan kerana nama mangsa tidak disebut. Malah, niatnya pun boleh dikatakan baik untuk mendidik masyarakat supaya berhati-hati.

“Bagi saya sendiri, penerbit mungkin ada sebab tersendiri. Cuma, penonton harus bersangka baik,” katanya.

Kata Dr Sapura lagi, bagaimanapun, adalah baik sekiranya penerbit drama untuk tidak cuba mensensasikan isu berkaitan yang berlaku terutama sekali membabitkan kes jenayah yang boleh memberi kesan pada keluarga mangsa.



Rujukan: http://www.hmetro.com.my/....20080124101830/Article/index_html

1 comment:

teddy bear said...

1. Saya dan anak saya peminat setia drama Gerak Khas . Tapi sedihnya kerana sekarang tayangan gerak khas agak lewat disiarkan. Diharap TV2 akan menyiarkan tayangan seperti dulu pukul 9pm.

2. Saya mendapati artis-artis dahulu dapat membawa watak dengan lebih realiti tetapi artis-artis baru sekarang tidak sehebat mereka.

3. Lagu gerak khas dahulu lebih sedap didengar berbanding dengan lagu sekarang.

MENCARI SHARLINIE

MENCARI SHARLINIE
Sharlinie Mohd. Nashar, 5 tahun